suria

'Lautan ungu' strategi pemasaran baharu industri perkayuan negara

Nik Zuraihah memberitahu matlamat TDC adalah untuk beralih daripada OEM kepada ODM dan OBM bagi menaikkan titik harga produk tambah nilai untuk tujuan eksport.

JIKA bercakap tentang perabot, Malaysia mempunyai kelebihan berbanding beberapa negara lain memandangkan Malaysia cukup kaya dengan sumber semula jadi yang sesuai dijadikan sebagai bahan pembuatan perabot.

Meskipun dunia telah lama memperakui Malaysia sebagai pengeluar perabot berasaskan sektor original equipment manufacturing (OEM), namun produk-produk dari penjenamaan dan reka bentuk tempatan (original design/brand manufacturing) belum dapat menandingi sektor OEM disebabkan kurang kesedaran mengenai kepentingan mengeluarkan produk khususnya perabot bernilai tambah tinggi dapat meningkatkan hasil yang lebih lumayan.

ARTIKEL BERKAITAN: Kediaman cantik, kehidupan lebih tenang dengan perabot dan hiasan dalaman berasaskan kayu

Oleh itu bagi merealisasikannya, Lembaga Perindustrian Kayu Malaysia (MTIB) melalui penubuhan TANGGAM Design Centre (TDC) sedang berusaha mengubah perkara itu.

Merupakan salah satu inisiatif MTIB bagi mengiatkan pertumbuhan industri perabot tempatan, TDC ditubuhkan sebagai sebuah ousat sehenti reka bentuk dalam mendorong kemajuan perabot tempatan dengan menghubungkan pereka, pelajar dan industri berkaitan.

Menurut Penolong Pengarah Kanan Pembangunan Industri MTIB, Nik Zuraihah Nik Mohammad, yang juga antara individu bertanggungjawab menerajui TDC, kaedah untuk memajukan industri perabot adalah dengan mengubah industri berasaskan kayu daripada OEM kepada pengeluar reka bentuk asal (ODM) dan pengeluar jenama asal (OBM) seperti digariskan dalam Pelan Dasar Perindustrian Kayu Negara Untuk Perabot dan Produk Berasaskan Kayu 2013-2020.

Sebahagian daripada pelan komprehensif ini adalah untuk meningkatkan aspek reka bentuk perabot di Malaysia dengan menyokong pereka perabot tempatan dalam usaha merapatkan jurang di antara pereka dan pengeluar.

Mohd Noor: Terdapat banyak potensi perabot yang dirancang untuk pereka tempatan, tetapi usaha meningkatkan kesedaran dan profil pereka Malaysia perlu konsisten.

Selain itu, pihak TDC turut mempromosikan dan memasarkan rekaan mereka ke pameran perdagangan tempatan dan antarabangsa.

"Biasanya, orang ramai merasakan industri perabot dan kayu tidak mampu pergi jauh, tetapi inisiatif MTIB melalui TDC telah membantu memperkenalkan spesies- spesies kayu tempatan kepada pereka muda kita untuk diolah menjadi produk bernilai tambah tinggi.

"Ini bagus untuk kesan jangka panjang, memandangkan matlamat kita adalah untuk beralih daripada OEM kepada ODM dan OBM serta meningkatkan inlay produk yang lebih tinggi terutama untuk tujuan eksport," katanya.

Antara 17 pereka tempatan yang berada di bawah TDC adalah pengarah urusan Ruang Studio Sdn Bhd, Mohd Noor Ariffin dan pengarah rekaan Basicology LLP, Lim Bo Qiang.

Kedua-dua mereka memberitahu meskipun penerimaan terhadap pereka tempatan masih rendah dalam kalangan masyarakat, namun cabaran ini perlu diteruskan bagi memastikan objektif bagi mentransformasikan industri OEM kepada ODM dan OBM tercapai.

Lim: Mewujudkan ekosistem perkongsian dan kolaborasi yang sihat akan mendorong industri ini maju secara keseluruhan.

Malah kata Mohd Noor, initiatief program-program kerajaan yang dijalankan melklui TDC adalah satu langkah yang tepat.

"Penerimaan terhadap pereka perabot tempatan masih berada tahap rendah, kita harus bersabar," ujarnya.

Katanya, pereka dan pengeluar harus melangkaui pengeluaran kepada pemasaran dengan memasukkan elemen penceritaan yang boleh dikaitkan oleh orang lain serta mewujudkan ikatan emosi dan kesetiaan terhadap jenama untuk menjadi lebih kuat.

Sementara itu, Lim menegaskan usaha juga perlu dilakukan bagi mencipta ekosistem yang sihat untuk industri perabot dengan mendorong lebih banyak perkongsian dan kolaborasi.

"Apa yang dapat kita lakukan adalah menghasilkan ekosistem yang sihat dengan memupuk budaya berkongsi untuk membangunkan kepercayaan serta terbuka dalam menerima kritikan untuk tujuan penambahbaikan.

"Kita perlu bijak bermain dengan kekuatan kita serta menyesuaikan dengan strategi lautan biru. Apa yang kita lihat adalah 'lautan ungu' sebagai strategi pemasaran baharu, di mana kita mencipta penyelesaian sesuai dengan keperluan pasaran semasa. Cara itulah perniagaan reka bentuk dapat dikekalkan, ” jelasnya.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Lain