suria

i-Sinar: Kebaikan dan keburukan mengeluarkan wang KWSP dari Akaun 1

i-Sinar dilihat dapat membantu golongan terjejas akibat pandemik Covid-19.

KEMUDAHAN pengeluaran wang dari program i-Sinar melalui Akaun 1 Kumpulan Wang Simpanan Pekerjaan (KWSP) yang dibuka oleh kerajaan ternyata melegakan ramai pihak.

Inisiatif ini diambil oleh kerajaan untuk membantu semua ahli yang terjejas pendapatan akibat pandemik Covid-19 ini.

Menteri kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz telah memperluaskan jumlah pengeluaran iaitu dari minimum RM10,000 ke RM60,000 mengikut kriteria kelayakan ahli tersebut.

ARTIKEL BERKAITAN: Perhatian! KWSP umum dua kategori ahli layak mohon i-Sinar, pemohonan secara berperingkat bermula 21 Disember.

Dalam pada itu, pembayaran telah dibuat bermula Januari 2021 dan kemudian secara berperingkat dalam tempoh maksimum enam bulan seterusnya.

Namun demikian, ramai pakar yang membuat berhujah mengenai program i-Sinar ini, termasuklah pandangan ia wajar dilakukan, tidak akan dapat bertahan lama malah ada juga melihatnya sebagai sesuatu yang merugikan.

Oleh itu, pada mereka yang ingin membuat pengeluaran wang KWSP Akaun 1 itu perlu berfikir panjang dan menilai sebaiknya keputusan yang ingin dibuat.

Berikut merupakan kebaikan dan keburukan i-Sinar.



Program i-Sinar dibuka untuk kesemua 8 juta pencarum KWSP yang terjejas.

KEBAIKAN

1. Wang tunai segera

Sejak dilanda Covid-19, kadar pengangguran global telah meningkat sebanyak 4.3 peratus pada enam bulan pertama tahun 2020.

Ini bermaksud ramai yang terkesan dengan ketidakstabilan ekonomi negara yang berpunca dari wabak Covid-19 ini.

Apabila ramai yang tidak mempunyai wang simpanan atau wang kecemasan, mereka sememangnya berdepan dengan kesukaran dalam kehidupan untuk membeli keperluan seharian.

Oleh itu, kemudahan i-Sinar ini sangat membantu untuk meringkan beban mereka dalam perbelanjaan keperluan asas seperti makanan, sewa dan pengangkutan, sekurang-kurangnya dalam tempoh 6 bulan.

2. Membantu meningkatkan ekonomi

Seperti kita tahu perbelanjaan pengguna adalah komponen utama dalam penentu prestasi ekonomi. Jadi apabila kurang pendapatan maka pengguna akan kurang membeli sekali gus mengakibatkan sektor perniagaan dan ekonomi negara terjejas.

Justeru pengeluaran i-Sinar dapat membantu mereka yang dipotong gaji, dibuang kerja atau perlu mengambi cuti tanpa gaji untuk terus berbelanja, khususnya untuk keperluan asas.

Antara kebaikan lain membuat pengeluaran i-Sinar ini ialah untuk membantu mempercepatkan pemulihan ekonomi dan aktiviti perniagaan.

KEBURUKAN

1. Kurang wang persaraan

Secara umumnya, tujuan utama pencaruman adalah untuk menabung untuk hari tua.

Namun demikian, seorang penyelidik iaitu Hawati Abdul Hamid dari Institut Penyelidikan Khazanah mendapati bahawa lebih daripada 80 peratus pencarum tidak memenuhi sasaran simpanan minimum sekitar RM240,000 di usia persaraan.

Hal ini sangat serius dan merisaukan kerana jumlahnya dilihat tidak mencukupi untuk menampung kenaikan kos sara hidup pada masa depan lebih-lebih lagi dengan pengeluaran yang telah dilakukan sekarang ini.

Bukan itu sahaja, Bajet 2021 juga telah mengurangkan caruman sebanyak 9 peratus berbanding tahun sebelumnya. Ini bermaksud wang persaraan anda akan menjadi lebih berkurang.

2. Tidak semua mampu bayar semula

Program i-Sinar ini tidak seperti i-Lestari, ia berfungsi sebagai pinjaman pendahuluan dan bukannya kemudahan yang diberikan semata-mata.

Apatah lagi sebelum ini anda menyumbang 70 peratus ke akaun 1 manakala 30 peratus ke akaun 2.

Disebabkan anda membuat pengeluaran i-Sinar anda perlu membuat caruman 100 peratus kepada akaun 1 sehingga wang pendahuluan itu dibayar sepenuhnya. Setelah selesai barulah ia akan kembali normal dengan mencarum ke akaun kedua semula.

Oleh itu, kami berharap anda menggunakan wang i-Sinar KWSP itu dengan sewajarnya kerana takut susah di kemudian hari.

Meskipun itu wang anda dan anda mempunyai hak sepenuhnya, ini hanya sekadar mengingatkan sesama kita.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Lain