suria

Madu kelulut mampu bantu jana pendapatan, sarang lebah dibina di tanah terbiar sekolah-sekolah tahfiz

Ladang madu kelulut yang diusahakan oleh pihak Urban Ecolife Agrofarm yang terletak di Gombak, Selangor.

MANFAAT madu kelulut semakin mendapat perhatian memandangkan ia berasal daripada lebah stingless atau tidak bersengat yang memiliki kandungan khasiat lebih tinggi.

Madu kelulut turut dikenali dengan nama lain seperti madu meliponine, trigona laeviceps, trigona apicalis dan sebagainya.

ARTIKEL BERKAITAN: Hargai nilai hutan... Pengurusan rapi dan rantaian produk kayu mampan kunci kekalnya warisan alam negara

Ia juga bukan sahaja berkhasiat dan bermanfaat terhadap kesihatan malah madu kelulut antara produk agro berpotensi dikembangkan memandangkan permintaannya yang tinggi.

Atas dasar itu, Urban Eco-Life Agro Farms memperkasakan penternakan madu kelulut dalam membekalkan madu yang memenuhi piawaian serta kualiti untuk pasaran dalam dan luar negara.



Pengasas Urban Ecolife Agrofarm dan Yayasan Permakultur Ecolife, Dr Abdul Aziz Azimullah.

Pengasasnya Dr Abdul Aziz Azimullah berkata antara tujuan utama pihaknya mengusahakan produk ini disebabkan hampir 90 peratus madu kelulut yang dijual di pasaran adalah tiruan.

Selain itu, di Urban Ecolife Agrofarm, Abdul Aziz memberitahu pihaknya cuba berusaha untuk meningkatkan kelestarian alam sekitar sekali gus menyelamatkan lebah ini daripada pupus.

"Boleh dikatakan kebanyakan madu kelulut yang dijual adalah tiruan dan bukannya asli. Jadi kami di Urban Ecolife Agrofarm cuba komersialkan dengan menternak madu ini.

"Paling membimbangkan adalah lebah ini jika tidak kita jaga, ia mungkin boleh pupus disebabkan faktor banyak hutan yang telah ditebang.

"Jadi kami di sini bukan sahaja menternak madu kelulut tetapi ingin memastikan lebah ini tidak pupus," katanya.



Sarang madu kelulut yang dibina sudah mula membuahkan hasil.

Dalam pada itu, Abdul Aziz menjelaskan, di ladang yang terletak di Gombak, Selangor itu, pihaknya menyediakan kawasan hampir setengah ekar dengan membina ratusan sarang kelulut.

Sehingga kini, ia telah membuahkan hasil memandangkan sebuah sarang boleh menghasilkan setengah liter madu hanya dalam tempoh dua minggu.

Sementara itu, Abdul Aziz yang juga pengasas Yayasan Permakultur Ekolife (YPE) berkata pihaknya bercadang untuk membantu 2,000 sekolah tahfiz di seluruh negara yang memiliki kawasan terbiar untuk mengusahakan madu kelulut.

Katanya, hasil madu yang dijual dapat memberi pendapatan kepada sekolah atau pusat tahfiz yang terlibat dalam memastikan ia dapat terus beroperasi.

"Terdapat banyak sekolah tahfiz yang mempunyai tanah terbiar dan sebenarnya ia boleh digunakan sebagai ladang menternak madu kelulut.



Madu kelulut mempunyai nilai pasaran yang tinggi.

"Pihak kami akan membantu dalam penyediaan sarang serta kepakaran lain bagi membolehkan tenaga pengajar serta pelajar mengusahakan ladang tersebut pada waktu lapang.

"Tambahan pula menternak dan menjaga lebah ini tidak sukar selain tidak perlu menunggu lama untuk mendapat hasilnya," katanya.

Tambahnya, hasil madu kelulut yang dituai boleh dijual dan hasil jualan boleh digunakan untuk membantu meringankan beban sesebuah pusat tahfiz.

Malah jelasnya, ia adalah aktiviti yang cukup baik bagi pelajar tahfiz pada waktu senggang.

"Selain madu kelulut boleh dimakan, ia juga boleh dijual dan mendapat pendapatan melaluinya malah pihak kami boleh membantu menjualnya kepada pelanggan.

"Ia sebenarnya adalah pelaburan yang cukup bagus untuk sekolah tahfiz selain berjasa pada tanah dan alam sekitar," ujarnya.

Sebagai permulaan, sebanyak 200 buah pusat tahfiz di negeri Selangor sudah dikenal pasti sesuai untuk projek itu dan berharap ia dapat diperluaskan ke seluruh negara dalam membantu meningkatkan ekonomi.



Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Lain