suria

Tak sampai separuh hari dah lapar? Ketahui 7 makanan sahur buat anda kenyang lebih lama

Kentang yang direbus atau dipanggang boleh membuatkan seseorang rasa kenyang lebih lama.

PADA minggu pertama bulan Ramadan, ramai daripada kita biasanya akan berasa lemau dan tidak bermaya kerana tubuh masih dalam proses membiasakan diri dengan perubahan yang sedang berlaku.

Disebabkan itu juga, ketika waktu sahur, ramai yang akan memasak pelbagia jenis lauk dengan harapan rasa kenyang dapat bertahan sehingga waktu berbuka puasa.

ARTIKEL BERKAITAN: Bukan hanya bulan Ramadan, kurma sesuai dimakan sepanjang tahun... ini 5 khasiatnya yang patut anda tahu

Bagaimanapun ramai tersilap, sebaliknya tetap berasa lapar meskipun belum separuh hari berpuasa.

Sebenarnya terdapat pelbagai makanan dan bahan boleh digunakan yang lebih memberi manfaat terutamanya membuatkan seseorang berasa kenyang lebih lama.

Berikut adalah tujuh makanan yang boleh membuatkan rasa kenyang lebih lama;

1. Kentang rebus

Kentang rebus atau yang dipanggang sangat padat dan kaya vitamin C serta beberapa nutrisi sihat yang lain. Kajian yang dilakukan Satiety Index juga memberikan skor tertinggi kepada makanan itu sebanyak 323.

Ia adalah makanan paling efektif untuk mengurangkan nafsu makan berbanding makanan lain serta lebih mengenyangkan. Jadi ia cukup sesuai dimakan ketika sahur.

2. Oat

Serat merupakan komponen makanan yang penting selain ia membantu mengawal kadar gula dalam darah dan kolesterol. Paling penting ia mengenyangkan.

Bagi menambah keenakan ketika menikmati oat semasa sahur, cuba tambahkan madu atau buah-buahan bagi menyedapkan lagi hidangan tersebut.

3. Susu rendah lemak

Susu rendah lemak antara minuman yang dapat meningkatkan rasa kenyang termasuk produk lain seperti yogurt dan sebagainya.

4. Telur

Telur adalah sumber protein, vitamin dan mineral yang sangat baik dan sekali gus membuatkan rasa kenyang lebih lama. Atas sebab itu, ramai makan telur ketika sarapan.

Kajian dilakukan International Journal of Food Sciences and Nutrition pada 2011 dengan memberi peserta makanan seperti telur dadar, kentang panggang dan sandwich ayam.

Selepas empat jam, peserta yang memilih telur dadar masih berasa kenyang.

5. Ikan

Ikan kaya dengan omega-3 yang merupakan lemak yang baik untuk manusia serta meningkatkan rasa kenyang selain ia boleh dimasak dengan pelbagai cara dan cukup menyelerakan.

6. Daging

Seperti ikan, daging lembu tanpa lemak merupakan pengganti kedua terbaik selepas ikan. Ia bukan sahaja meningkatkan sumber protein tetapi juga dapat membuatkan rasa kenyang lebih lama.

7. Sayur-sayuran

Pelbagai jenis sayuran mempunyai vitamin, mineral yang cukup berkhasiat selain rendah kalori serta mengandungi air lebih banyak.

Kelebihan ini yang membuatkan sayur-sayuran adalah pilihan yang lebih baik untuk membuatkan rasa kenyang lebih lama terutamanya ketika bersahur.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Lain