suria

Masa kecil suka tengok ibu buat dessert, wanita ini jual kek online selepas belajar di YouTube - “Cuba 10 resepi, empat atau lima saja yang jadi”

Kek coklat dan mango panna cotta menjadi kesukaan ramai pelanggan bagi sambutan tertentu.

KE MANA tumpahnya kuah kalau tidak ke nasi! Pepatah ini menggambarkan bahawa setiap tindak tanduk ibu bapa sedikit sebanyak akan menjadi ikutan anak-anak pada masa akan datang.

Begitulah juga dengan wanita ini yang minatnya terhadap bidang pastri dan bakeri tercetus apabila melihat ibunya gemar membuat pencuci mulut (dessert) di rumah sejak dia di alam persekolahan.

ARTIKEL BERKAITAN: Betul ke garam bukit lebih berkhasiat, apa bezanya berbanding garam biasa?

Nor Syarafina Hashim, 30, kini mampu menjana pendapatan sampingan hasil jualan dessert dan pastri menerusi Instagram yang dinamakan Dessertstudio.



Sya memanfaatkan waktu belajarnya dengan mencuba resepi kek baru.

Nor Syarafina yang berasal dan menetap di Ampang berkata dengan bakat yang diwarisi daripada ibunya, dia nekad menjalankan perniagaan dessert secara online.

“Mak saya suka ‘baking’ jadi lama kelamaan saya pun minat sekali. Pada awalnya saya belajar hanya tengok buku resepi, kek pertama yang saya buat adalah kek pelangi, masa tu tahun 2008.

“Bila dah sambung belajar, saya mula mencari resepi kek yang lain. Waktu belajar mana ada duit, saya teringin sangat nak masuk kelas bakeri tapi bila tengok harga beratus dan terlalu mahal, jadi saya ambil keputusan untuk belajar di internet sahaja," katanya kepada mStar.

Dia yang belajar di Universiti Kuala Lumpur Institute of Produk Design and Manufacturing (UniKL IPROM), mengambil jurusan Pengurusan Perniagaan Kejuruteraan bagaimanapun tidak percaya dirinya mampu pergi jauh sehingga ke tahap ini dalam bidang perniagaan.

Apa yang lebih menarik, dia juga berjaya mendapat keuntungan empat angka dalam tempoh yang singkat hasil daripada bisnes online yang dijalankan.



Strawberry Chiffon Cake mempunyai tekstur yang sangat lembut.

Bagaimanapun mempelajari bidang pastri dan bakeri tanpa berguru dengan sesiapa bukanlah satu perkara mudah buat Nor Syarafina atau lebih mesra disapa Sya, yang mana dia mengakui banyak cabaran dan dugaan sepanjang proses pembelajarannya di YouTube.

“Kalau belajar dari YouTube biasalah ada kelebihan dan kekurangan. Agak susah nak ikut proses pembuatan dengan hanya tengok video. Memang berbeza jika dapat belajar secara bersemuka dengan guru.

“Dalam 10 resepi yang kita cuba, mungkin hanya jadi empat atau lima resepi saja. Tak dapat nafikan memang kecewa, sebab kita harap menjadi tapi lain pula hasilnya.

[Sertai fan club Telegram mStar Rojer. Kita boleh borak-borak DI SINI]

..

Cream puff pandan antara resepi yang dihasilkan mengikut citarasa pelanggannya.

Walaupun hampir berputus asa, Sya berkata dia bernasib baik kerana kek coklat yang dihasilkannya disukai pelanggan dan menerima banyak tempahan.

“Sebenarnya, bila pelanggan dah mula rasa kek coklat saya mereka akan minta untuk buat yang lain juga seperti brownies dan cream puff. Saya cuba cabar diri dan buktikan kepada pelanggan yang saya boleh buat.

“Alhamdulillah kebanyakan pelanggan saya bermula daripada kawan. Mereka antara orang yang banyak bantu saya dalam mengembangkan perniagaan ini. Bila seorang dah rasa, yang lain pun nak juga dan lama-lama dapat semakin ramai pelanggan," katanya.

Bercerita lanjut mengenai penglibatannya dalam bidang ini, Sya memberitahu sudah hampir enam tahun perniagaan tersebut dijalankan.

Menurut Sya, semasa musim perayaan tempahan akan meningkat dan dia pernah menyiapkan 185 balang kuih dan lapan kotak kek dalam masa dua minggu.

Malah katanya, dia akan lebih fokus untuk meneruskan perniagaan ini apatah lagi negara sedang dilanda pandemik.

Nak tengok ke posting kelakar dan macam-macam komen? Follow kami di Instagram!

Artikel Lain