SEDAR atau tidak, kucing mempunyai beberapa perilaku yang sukar difahami manusia dan salah satunya adalah ia gemar menatap wajah pemiliknya. Keadaan ini pastinya membuatkan kita tertanya-tanya mengapa si bulus berbuat demikian. Adakah ia sedang marah, gembira atau mahukan perhatian?ARTIKEL BERKAITAN: Tiba-tiba suka tidur dalam kotak pasir, ini 4 sebab kucing anda berubah perangai Komunikasi kucing tidak mudah difahami kerana adakalanya ia akan menggunakan suara untuk meminta sesuatu tetapi adakalanya ia memberi isyarat menerusi bahasa tubuh. Sebenarnya terdapat beberapa sebab mengapa kucing menatap wajah anda. 1. Rasa ingin tahu Jika melihat kucing dalam keadaan tenang menatap wajah anda, ia sebenarnya hanya memperhatikan apa yang akan anda lakukan. Ini kerana bagi kucing, manusia adalah makhluk cukup menarik dan penyelamatnya termasuk menyediakan makanan, bermain dengannya dan menyayanginya. 2. Kelaparan Kebiasaannya kucing akan mengiau atau menggesel di badan pemiliknya untuk memberitahu ia sedang lapar. Tetapi jika anda melihat kucing merenung wajah anda tanpa sebab, cuba periksa bekas makanannya kerana ia mungkin sedang kelaparan. 3. Sayang Jika anda terbangun dan melihat kucing kesayangan berada di sisi anda dan sedang menatap wajah anda, itu petanda ia sayangkan anda. Begitu juga, apabila kucing perlahan-lahan baring di sebelah dan menatap wajah anda sebelum tertidur, ia cuba memberitahu ia selesa, percaya dan sayangkan pemiliknya. 4. Ketakutan Seekor kucing yang merenung terus ke arah kucing lain dapat menandakan bahawa ia sedang gelisah, bersedia untuk menyerang atau melarikan diri. Namun hati-hati jika ia memberi pandangan sama kepada anda sambil mendengus, bulunya berdiri dan ekornya bergerak ke kiri dan ke kanan. Itu menandakan kucing sedang berasa takut, terancam atau marah. Dalam keadaan ini, elak menyentuh kucing anda dan jauhkan diri serta berinya ruang untuk meredakan kemarahannya. Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI