suria

Awas jika kucing sukar kencing, bertindak segera jika si bulus ada salah satu daripada 7 tanda ini

Ada beberapa tanda kucing mengalami kesukaran membuang air kecil.

MEMELIHARA kucing memiliki banyak tanggungjawab, bukan sekadar memberinya makan dan tempat tinggal selesa tetapi juga memastikan si comel sentiasa sihat dan bebas daripada sebarang penyakit berbahaya.

Salah satu masalah yang boleh berlaku kepada kucing adalah sukar kencing. Biasanya ia disebabkan masalah saluran tersumbat atau jangkitan kuman pada pundi kencing.

ARTIKEL BERKAITAN: Suka sangat si bulus tenung wajah tuannya... takut dan sayang antara penyebabnya

Jangkitan kuman ini berlaku ketika ada sesuatu menghalang saluran air kencing melalui uretra seperti ketidakseimbangan mineral yang membentuk batu atau pasir.

Keadaan ini adalah masalah kesihatan yang serius dan boleh menyebabkan kematian sekiranya ia tidak dirawat dengan segera.

6230195ed25e6

Masalah kesukaran kencing pada kucing boleh meragut nyawanya.

Jadi bagaimana hendak mengetahui si bulus sukar membuang air kecil?

Kucing umumnya akan membuang air kecil dua hingga empat kali sehari bergantung kepada jumlah pengambilan air, kesihatan dan cuaca.

Misalnya, ketika cuaca panas, kucing akan lebih kerap minum air yang membuatkannya akan kerap kencing.

Bagaimanapun ketika mengalami masalah ini, kucing akan dilihat sukar membuang air kecil sehingga pada satu tahap langsung tidak boleh berbuat demikian.

Ketika sampai ke tahap itu, kucing akan menunjukkan pelbagai gejala atau tanda yang perlu diketahui sekali gus dapat membantu menyelamatkan nyawanya.

prepare white cat for surgery

Bawa kucing kesayangan anda berjumpa doktor dengan segera bagi merawat masalah itu sebelum terlambat.

Antara tanda-tanda kucing sukar buang air kecil termasuklah;

1. Ia tidak henti-henti mengorek pasir dalam kotak atau di laman rumah

2. Kucing akan berkelakuan aneh seperti ulang-alik masuk ke bilik air atau kotak pasirnya

3. Terdapat darah dalam air kencing

4. Kucing akan kencing di tempat bukan kebiasaannya

5. Nafsu makannya menurun dan sering muntah (tanda komplikasi pada buah pinggang)

6. The Spruce pula melaporkan, tanda-tanda lain yang perlu diberikan perhatian adalah si bulus kelihatan lesu dan gelisah sepanjang masa.

7. Tanda seterusnya adalah kucing akan bersembunyi atau menghindari daripada pemilik atau haiwan peliharaan yang lain kerana ia sedang menahan kesakitan.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain