suria

Tak perlu viral dulu, PPIM sedia ruang aduan guna aplikasi... Terus hantar bukti video dan foto

Aplikasi YAKIN akan menjadi one stop centre untuk pengguna dengan pelbagai perkhidmatan disediakan.

PERSATUAN Pengguna Islam Malaysia (PPIM) memang cukup terkenal dengan kelantangan mereka dalam membantu pengguna yang teraniaya, namun usaha itu tidak terhenti di situ.

PPIM mengorak langkah apabila membangunkan aplikasi mudah alih diberi nama YAKIN sebagai sebuah one stop centre dengan pelbagai perkhidmatan dan fitur menarik.

Antara perkhidmatan sinonim dengan PPIM adalah aduan hal ehwal pengguna yang membolehkan pengguna membuat aduan terus menerusi aplikasi itu serta memuat naik bahan bukti seperti gambar atau video dalam laporan mereka.

Presiden dan ketua aktivis PPIM, Datuk Nadzim Johan berkata, meskipun ia bukan perkara baharu buat PPIM, namun fitur terbaharu dalam aplikasi itu memudahkan pengguna membuat aduan selain tindakan lebih cepat daripada pihaknya.

"Seperti biasa aduan yang paling banyak kita terima adalah seperti menjadi mangsa ahlong atau ceti haram, berkaitan aktiviti scammer, penipuan atau pun disenarai hitam oleh bank dan sebagainya.

ICN07030-4

YAKIN dirasmikan oleh Datuk Seri Dr Adham Baba.

"Dengan adanya fitur ini, pengguna boleh terus membuat aduan mereka dan kami menjangkakan akan mendapat pelbagai aduan menerusinya," katanya.

Nadzim ditemui pada majlis pelancaran aplikasi itu yang dirasmikan oleh Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Seri Dr Adham Baba di Petaling Jaya pada Khamis.

YAKIN adalah kolaboraasi PPIM bersama Crescent Digital Sdn Bhd (Crescent Digital) yang membangunkan aplikasi itu.

ARTIKEL BERKAITAN: Portal Majoriti dan Yoodo jalin kerjasama beri tawaran eksklusif!

Selain itu, YAKIN yang boleh dimuat turun secara percuma turut memperkenalkan beberapa fitur lain seperti sumbangan derma kepada saluran sahih dan berdaftar, informasi terkini PPIM serta modul ibadah termasuklah waktu solat, kiblat, doa harian, tasbih dan pelbagai lagi.

Antara yang menarik, pengguna aplikasi YAKIN dapat memilih laungan azan oleh artis terkenal tanahair iaitu Black Hanifah selain tetapan notifikasi waktu solat yang boleh didapati secara eksklusif melalui aplikasi tersebut.

Nadzim Johan berkata, aplikasi ini bukan sahaja mensasarkan pengguna malah ia dibangunkan dengan matlamat untuk membantu perniagaan yang ingin mempromosikan produk atau perkhidmatan mereka secara khusus dan efisien.

Nadzim berkata, pihaknya yakin aplikasi itu dapat memberi manfaat kepada rakyat Malaysia bersesuaian dengan misi PPIM iaitu melaksanakan tuntutan fardu kifayah membabitkan kepentingan pengguna dan perniagaan Islam melalui tindakan proaktif dan berstrategi.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Crescent Digital, Nina Alyssa pula memberitahu pihaknya juga sedang merancang untuk memperkenalkan lebih banyak fitur di dalam aplikasi YAKIN merangkumi direktori perniagaan Islam, direktori scammers, tinjauan atau survey, e-Dagang dan lain-lain di fasa akan datang.

Kolaborasi ini kata Nina, dapat membina sebuah ekosistem inovasi bagi membangunkan produk tempatan serta pemangkin kepada ekonomi digital Islam bukan sahaja di Malaysia malah di seluruh rantau Asia Tenggara.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain