PENGELUAR permainan blok Lego baru-baru ini meraikan ulangtahun yang ke-90 dan telah mengundang lebih daripada 20 orang wartawan dari seluruh udnia untuk melawat ke Lego Campus di Billund, Denmark. Lego campus adalah nama bagi ibu pejabat Lego Group yang baharu dan mula beroperasi pada April 2022. Dengan keluasan 54,000 meter persegi, Lego Campus yang dibina oleh C.F. Moller Architects menempatkan hampir 2,000 kaki tangan syarikat tersebut. Ruang lobi Lego Campus yang cukup menyerlah dengan tangga berwarna kuning. Ketika masuk ke bahagian utama bangunan itu, warna kuning yang juga rona khas Lego mewarnai hampir keseluruhan interior Lego Campus yang memberi impak menyenangkan. Lobi utamanya direka dengan ruang terbuka dengan sudut-sudut yang dilengkapi sofa, beanbag, alat permainan dan hiburan, kafeteria dan pantri lengkap dengan pelbagai makanan dan minuman serta padang golf mini. Tidak hairan Lego Campus mempunyai kelengkapan fasiliti sedemikian rupa kerana ia memang terkenal sebagai sebuah syarikat yang mementingkan praktikal dan keselesaan buat pekerjanya. ARTIKEL BERKAITAN: Kecil tetapi ‘power’, hanya ada 10 Phantom II Deep Blue di pasaran Malaysia! Siap ada padang futsal! Ketua Pegawai Eksekutif Lego Group, Niels B. Christiansen menjelaskan pihaknya sentiasa cuba untuk mencipta ruang kerja yang mencerminkan nilai-nilai positif untuk keselesaan tenaga kerjanya. "Misi kami adalah untuk menginspirasikan golongan muda, jadi penting bagi kami untuk menyediakan sebuah ruang yang menyenangkan agar dapat meningkatkan kreativiti dan pemikiran inovatif dalam kalangan pekerja," katanya. Elemen utama rekaan Lego Campus menurut Niels adalah 'People House' iaitu mencipta sebuah ruang di mana pekerja Lego dan keluarga mereka dapat berkumpul ketika atau selepas waktu kerja. Kafeteria yang turut dijadikan sebagai work station oleh pekerja. People House jelasnya adalah sebagai kawasan rekreasi dalam menggali inspirasi dan memberi ketenangan kepada pekerja selain ahli keluarga yang datang berkunjung. Malah pada bahagian lobi utamanya, terdapat sebuah studio kecergasan yang dibina khas buat kegunaan pekerja yang ingin melakukan aktiviti senaman, lengkap dengan pelbagai alatan dan jurulatih kecergasan. Ruang itu cukup luas sehingga ia boleh diubah sebagai sebuah padang futsal, gelanggang badminton dan bola keranjang! Terdapat pelbagai ruang yang menyediakan permainan Lego untuk pelawat bermain. Manakala sofa yang diletakkan di pelbagai sudut bukan sahaja sebagai tempat berehat tetapi lokasi bekerja secara hibrid selain pekerja boleh menggunakan mana-mana meja pantri, kafeteria ataupun bar untuk menyiapkan tugasan. Lebih menyeronokkan, di bahagian bumbung bangunan itu terletaknya padang golf mini yang boleh digunakan pekerja atau ahli keluarga untuk beriadah. Tidak hairan, Denmark termasuk dalam senarai antara negara dengan kedudukan paling bahagia di dunia dan kemudahan yang terdapat di dalam Lego Campus adalah cerminan tentang perkara itu. Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI