MESKIPUN kucing terkenal sebagai haiwan yang sering membersihkan diri sendiri namun pemilik masih perlu memberus dan menyikat bulunya. Ini kerana, adakalanya kucing memerlukan bantuan untuk merapikan bahagian-bahagian yang tidak dapat dicapainya agar kebersihan bulunya lebih terjaga. Tetapi persoalannya, seberapa kerap bulu kucing perlu diberus? Ia bergantung kepada kepanjangan bulunya. Tujuan pemilik perlu memberus bulunya adalah untuk mengurangkan gumpalan bulu, mengeluarkan bulu-bulu yang gugur, menghindari masalah kulit dan sebagainya. Ini penting bagi mengelakkan kucing yang menjilat dirinya akan menelan bulu-bulu yang telah gugur dan menyebabkan masalah kesihatan lain kepada si bulus kesayangan anda. Memberus bulu kucing banyak kebaikan. Tidak hanya itu, memberus bulu kucing menggunakan sikat khas dapat membantu mengesan kutu yang mungkin melekat pada kucing anda. Apatah lagi jika si bulus sudah berusia, ia memerlukan lebih banyak bantuan untuk membersihkan dirinya. Apa lebih penting, aktiviti itu boleh mengeratkan ikatan kasih sayang anda dengan kucing agar ia berasa tenang dan bahagia. Cara betul menyikat bulu kucing 1. Apa paling penting adalah memilih sikat yang sesuai dengan bulu kucing. Untuk kucing berbulu panjang, sebaik-baiknya beli sikat dengan bentuk gigi yang jarang. ARTIKEL BERKAITAN: Memang ‘rare’ kalau jumpa kucing Calico jantan! Tapi apa sebabnya? 2. Bagi berbulu pendek, gunakan sikat dua sisi dan aktiviti memberus bulunya perlulah dilakukan ketika kucing berada dalam keadaan santai. 3. Untuk menanggalkan bulu mati, sikat mengikut arah bulu sebelum arah berlawanan dan buang bulu yang tertanggal sebelum mengulang langkah itu. Berapa kerap menyikat bulu kucing? Kekerapan memberus bulu kucing bergantung kepada jenis bulu yang dimiliki kucing dan secara idealnya, kucing berbulu panjang perlu disikat setiap hari kerana bulunya lebih mudah menjadi kusut. Bagi kucing berbulu pendek, disarankan untuk menyikat bulunya setiap hari atau beberapa kali dalam seminggu tetapi ia bergantung kerana terlalu kerap memberus bulunya juga boleh menyebabkan masalah lain seperti kebotakan. Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI