PERJALANAN yang jauh bukan hanya memenatkan tetapi membuatkan badan kita berasa tidak selesa dan lesu. Lebih lagi jika anda seorang yang mudah mabuk! Tidak kiralah sama ada perjalanan menaiki kereta mahupun bot atau kapal terbang. Rasa loya dan pening yang sering dialami ketika pergerakan kenderaan berlaku dikenali sebagai 'motion sickness' atau mabuk perjalanan. Pengsan atau keadaan pening seolah-olah dunia sedang berpusing berlaku disebabkan organ deria menghantar isyarat ketidakseimbangan kepada otak. Bagaimanapun, mabuk perjalanan tersebut bukanlah sesuatu perkara yang perlu dibimbangkan kerana ia adalah perkara biasa yang sering berlaku khususnya dalam kalangan kanak-kanak. Kebanyakan kanak-kanak alaminya kerana bermain permainan video di dalam kenderaan. Ada yang mengalaminya kerana pada ketika itu mereka sedang menonton filem atau bermain permainan video mahupun membaca. Namun, orang dewasa juga cenderung untuk mabuk perjalanan jika mereka sedang hamil atau migrain. Antara simptom yang berlaku adalah ketidakseimbangan, muntah atau loya, pening, berpeluh dan keletihan. Oleh itu, bagi mengatasinya daripada berlaku, anda boleh ikuti beberapa tips ini. 1. Duduk di kerusi hadapan Jika anda sering mengalami situasi sedemikian, boleh cuba untuk duduk di kerusi hadapan dan belajar menikmati pemandangan sekeliling. 2. Minum halia Sebelum perjalanan dimulakan, anda boleh cuba menikmati secangkir minuman berhalia. Caranya mudah sahaja dengan mengambil ekstrak halia dan membancuhnya di dalam air suam. 3. Banyak minum air kosong Memastikan badan sentiasa hidrasi juga dapat membantu mengurangkan mabuk perjalanan ya! 4. Elak makanan berminyak Perjalanan sering kali dimulakan pada awal pagi dan semestinya menu yang paling mudah diperoleh adalah nasi lemak atau bihun dan mee goreng. Kesemua makanan ini bukan hanya menyelerakan tetapi dapat membantu mengekalkan rasa kenyang dalam tempoh yang lama. Namun, jika anda seorang yang mudah pening dan berasa loya, elakkan pengambilannya. 5. Dengar muzik Dengan mendengar muzik atau lagu kesukaan, anda dapat menghilangkan 'fokus' terhadap rasa pening dan loya. Cubalah! 6. Elak membaca Sesetengah orang boleh membaca dan bermain permainan video di dalam kenderaan yang bergerak. Tapi jika anda mudah rasa mabuk, elakkan melakukan aktiviti tersebut. Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI