APAKAH cara terbaik untuk berhenti kerja? Apabila anda meletak jawatan, adalah penting untuk melakukannya dengan tertib dan profesional. Berikut kami kongsikan beberapa perkara yang perlu dipertimbangkan. 1. Simpan dokumen penting Sebelum menyerahkan surat peletakan jawatan kepada bos, pastikan anda bersedia sepenuhnya. Pastikan anda menyimpan sebarang fail atau dokumen yang penting ke Google Drive, atau e-mel salinan kepada diri sendiri. Anda mungkin tidak mempunyai akses kepada komputer sebaik sahaja menyerahkan surat peletakan jawatan, jadi sediakan semua salinan yang anda perlukan sebelum memberitahu bos anda bahawa anda akan berhenti. 2. Berhenti cara betul Anda perlu memberi notis mengikut tempoh tertentu kerana ia merupakan amalan biasa dalam proses peletakan jawatan. Jangan lupa ucapkan kata-kata penghargaan buat rakan-rakan sekerja yang banyak membantu anda selama ini. Surat itu tidak semestinya mesej yang panjang, sebaliknya beberapa perenggan sudah memadai. Pastikan anda memasukkan hari terakhir anda bekerja dan ucapan terima kasih atas pengalaman anda. Anda juga boleh meminta untuk berjumpa dengan bos secara persendirian untuk berbincang atau menyerahkan surat. Pilih masa yang sesuai untuk anda berdua fokus pada perbualan tanpa gangguan atau tekanan tambahan. ARTIKEL BERKAITAN: Rakan kerja toksik! ‘Budak baru’ hantar surat resign 3 kali dalam tempoh 5 bulan kerja, penyakit kemurungan datang semula Apabila menghantar surat, hantar satu salinan kepada bahagian Sumber Manusia dan simpan satu untuk rekod anda. Dalam kebanyakan kes, anda mungkin boleh menghantar surat peletakan jawatan melalui e-mel, yang menjadikan penyimpanan rekod lebih mudah. 3. Pergi tanpa sengketa Anda mungkin diminta untuk mengambil bahagian dalam exit interview. Ingatlah untuk kekal positif apabila membincangkan tugas, pengurus dan pasukan anda. Tahan keinginan untuk mengadu semasa proses itu. Lebih manis sekiranya anda tinggalkan syarikat itu dengan baik tanpa sebarang sengketa. Ucapkan selamat tinggal kepada rakan sekerja. Luangkan masa untuk menulis e-mel, nota peribadi atau berjumpa rakan sekerja yang menyokong anda sepanjang berkhidmat di syarikat itu. Pada masa sama, anda perlu bersedia untuk menjawab soalan 'kenapa berhenti kerja?' Ia merupakan salah satu soalan yang biasanya 'wajib' ditanya orang sekeliling sejurus anda membuat keputusan itu. Sekali lagi, tahan keinginan untuk menghina bekas bos atau syarikat tempat anda bekerja. Sebaliknya kekal positif dan cuba tinggalkan legasi anda dengan baik tanpa sebarang rasa dendam dan sengketa. - The Balance Careers. Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI