SIAPA yang tidak mengenali jam tangan G-Shock? Kerana ia begitu popular, boleh dikatakan setiap peminat jam tangan memiliki sekurang-kurangnya seutas model daripada jenama itu. Merupakan keluaran Casio, jam tangan model tersebut diminati ramai kerana mempunyai daya ketahanan yang tinggi sejajar dengan visi penghasilannya 'creating a watch that never breaks'. ARTIKEL BERKAITAN: Minyak masuk sedikit jika dipam laju-laju? Pakcik Shell tampil dengan eksperimen Reka bentuknya yang menarik bukan sahaja membolehkan ia 'bertoleransi' dengan air, malah dapat menghadapi getaran, elektrik dan graviti mahupun berada dalam keadaan suhu rendah sehingga digelar 'the toughest watches of all time'. Tengku Mahkota Johor (TMJ) juga antara yang memberi impak dalam pasaran jam tangan G-Shock meskipun tidak berkolaborasi secara langsung dengan jenama terkemuka itu. Namun jam tangan yang digayakan baginda akan menjadi buruan peminat seperti model popular GA-2100 Solid Black dan Skeleton. Maka tidak hairanlah apabila ramai yang sanggup berhabisan ribuan ringgit untuk memilikinya. Irzuddin bersama rakannya untuk bertemu pereka jam G-Shock. Seperti pemuda berusia 34 tahun ini, dia yang begitu meminati jenama G-Shock sanggup meredah negara jiran, Thailand selepas mengetahui pereka peranti elektronik itu, Kikuo Abe berada di sana. Bercerita mengenainya, Irzuddin Shukor berkata, dia membuat keputusan untuk ke Bangkok selepas mengetahui kehadiran pereka berbangsa Jepun menerusi perkongsian salah seorang top collector Thailand. "Tak sah kalau minat G-Shock tapi tak kenal pereka atau tidak mahu jumpa dia. Sebut saja Kikuo Ibe pasti berebut-rebut orang yang minat G-Shock nak jumpa dan bergambar serta meminta tandatangannya untuk diabadikan pada jam. "Itu adalah momen paling tertinggi dalam sejarah, tak ada jam mahal tak apa asalkan ada sign dan gambar dengan Kikuo Ibe," ujarnya gembira selepas berjaya bertemu dengan idolanya. Mempunyai kira-kira 20 koleksi peribadi pelbagai model jam tangan tersebut, Irzuddin berkata, jam tangan yang paling mahal dimilikinya berharga RM3,500. Tambahnya, minat yang mendalam bermula semasa Covid-19 melanda negara sekitar tahun 2020. "Asalnya saya adalah perunding jualan Perodua selama sembilan tahun, masa wabak melanda semua lock down jadi saya terpaksa ikhtiar untuk cari income lain bagi meneruskan hidup. Jam tangan kesayangannya mempunyai tandatangan Kikuo Ibe. "Akhirnya saya ke bidang berkaitan hobi dan fesyen iaitu G-Shock, mula dengan menjual spare part jenama ni kemudian buat repair dan restore jam... sekarang saya buat content tip dan knowledge pasalnya pula," jelasnya yang kini menjadikan G-Shock sebagai sumber pendapatan semasa. Berkongsi pengalaman bertemu dengan Kikuo Ibe, ujarnya, selain teruja dan seronok, dia juga merasakan perkara tersebut seperti mimpi indah. Tambahan pula dia berjaya mendapatkan tandatangan pereka terkenal itu pada koleksi jam tangan yang paling disayangi. "Semasa lancarkan model baru sebelum ini, beliau ada datang Kuala Lumpur dalam bulan September tetapi saya tak dapat peluang kerana kuota banyak untuk media sahaja. "Jadi kali ni nekad terus ke Bangkok sebab mereka menerima walk-in tanpa kouta... jadi memang peluang yang dinanti-nantikan meskipun terpaksa berkelana ke sana semata-mata untuk Kikuo Ibe," ujar anak jati Perak yang kini menetap di Saujana Utama Sungai Buloh, Selangor. Menggunakan pengangkutan kereta api untuk ke lokasi penganjuran tersebut, ujarnya, perjalanan bermula dari Kuala Lumpur Sentral pada Rabu (18 Oktober) menghala Padang Besar, Perlis. "Dari Padang Besar, saya naik kereta api terus ke Bangkok dan sampai destinasi kira-kira pukul 1 petang, Khamis. Pada hari Jumaat, saya berpeluang berjumpa dengan beliau dan minta sign serta bergambar kenang-kenangan," katanya. Untuk rekod, G-Shock atau singkatan kepada Gravitational Shock bermula pada tahun 1983. Kikuo Ibe atau lebih dikenali sebagai 'Father of G-Shock' adalah orang yang bertanggungjawab di sebalik terciptanya jam tangan yang dikatakan paling kuat dan kukuh di dunia ini selepas mendapat inspirasi daripada lantunan bola getah yang anjal selepas terjatuh. Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI