MUNGKIN anda merasakan bahawa memelihara ikan sekadar hobi untuk mengisi masa lapang. Sebenarnya ia merupakan terapi yang baik dan dapat membantu mengurangkan stres serta menenangkan fikiran terutama sekali selepas seharian penat bekerja. Pada masa sama dapat mengisi ruangan kosong yang terdapat di rumah anda sekali gus menjadikan hiasan dalaman lebih estetik dan menawan. Bagi anda yang masih mencari idea untuk menjadikan akuarium sebagai salah satu dekorasi rumah, segmen i-suke mStar kali ini berkongsikan beberapa rekaan dan konsep yang menarik serta sesuai digayakan seperti homecrux.com. 1. Rak buku Bagi ulat buku, masa sering dihabiskan di perpustakaan mini yang dibina khusus di salah satu ruangan bilik. Jika hanya melihat buku sahaja, pasti membosankan, tambahan pula kesemuanya telah habis dibaca. Apa kata anda jadikan salah satu rak buku tersebut sebagai akuarium dan mengisinya dengan ikan-ikan kecil yang berwarna warni seperti ikan guppy, bukan sahaja cantik malah mudah diuruskan. Seusai membaca, anda boleh tenangkan diri dengan melihat ikan pula! 2. Katil akuarium Jika anda begitu mencintai hidupan akuatik, bolehlah jadikan katil sebagai akuarium. Bukan sahaja tampak mewah tetapi dapat memberikan kesegaran selepas anda bangun dari tidur. Pun begitu, beberapa kriteria perlu diambil kira termasuk pemilihan ikan yang sesuai. 3. Table-top dapur Rekaan table-top dengan pemandangan hidupan akuatik di bahagian bawah akan memberi kelainan pada ruangan dapur anda. Selain tampak estetik dan menarik, ia juga membuatkan ruangan dapur anda kelihatan lebih luas. Tetamu juga pasti lebih gemar berada di dapur kerana suasana yang tenang. 4. Dinding akuarium Akuarium ikan di dinding sering digayakan di restoran mewah mahupun hotel lima bintang kerana menggambarkan golongan elit. Pun begitu, ia sudah menjadi dekorasi utama sesetengah rumah yang mahukan ruangan kosong di ruang tamu dimanfaatkan sebaiknya. Bagi jenis ini, ikan-ikan besar lebih menarik seperti arowana merah. 5. Meja kopi Mungkin anda merasakan ruang tamu rumah terlalu sempit dan tidak sesuai untuk mempunyai akuarium meskipun cinta anda pada haiwan akuatik sangat memuncak. Apa kata anda tukarkan meja kopi (coffee table) kepada hiasan estetik dan unik. Selain dapat memenuhi impian untuk memelihara ikan hiasan, ia juga berfungsi sebagai meja. Jiran-jiran pasti berasa wow! Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI