suria

Berbahas sambil faham kepentingan keselamatan sosial... UM muncul juara Debat Malaya bersama Perkeso 2022

Pasukan debat UM diumumkan sebagai johan pertandingan Debat Malaya bersama Perkeso 2022.

PENGANJURAN pertandingan Debat Malaya bersama Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) 2022 (DMbP 2022) berjaya meningkatkan pemahaman serta kesedaran golongan belia mengenai keselamatan sosial di negara ini.

Menerusi DMbP 2022, lebih 40 pasukan daripada pelbagai institusi pengajian menyertai pertandingan yang diadakan sejak 4 November lalu dengan membahaskan beberapa usul berkaitan perlindungan keselamatan sosial.

Antara yang dibahaskan adalah mengenai Iktibar Pandemik Covid-19: Perkeso Perlu Lebih Diperkasa; Pelaksanaan Mandatori Maternity Benefit di bawah Akta Sistem Insurans Pekerjaan serta mengenai Skim Perlindungan Sosial Sebagai Subjek Wajib Lulus Institusi Pendidikan Tinggi Malaysia.

Pusingan akhir DMbP 2022 yang dianjurkan Perkeso bersama Majlis Orator Universiti Malaya (Morum) ini menyaksikan saingan sengit antara dua pasukan iaitu dari Universiti Pertahanan Nasional Malaysia dan Universiti Malaya (UM).

3

John Riba Marin (dua, kiri) bersama Pendebat Terbaik Liga (keseluruhan), Hafiz Hafizi (tengah) dari UKM.

Dengan perbahasan bertajuk 'Demi Perlindungan Keselamatan Sosial Yang Lebih Mapan, Dewan Ini Menyokong Perluasan Perlindungan Keselamatan Sosial Dengan Memberikan Pencen Warga Emas', UM diumum sebagai johan DMbP 2022.

Tempat ketiga dikongsi oleh Universiti Malaya B dan Institut Pendidikan Guru Malaysia.

Pendebat terbaik liga (keseluruhan) dimenangi Hafiz Hafizi Norependi, dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), manakala pendebat terbaik akhir dianugerahkan kepada Ahmad Akif Syarafuddin Sahar dari UM.

Pengerusi Lembaga Perkeso, Datuk Seri Subahan Kamal, berkata pertandingan debat berprestij yang menghimpunkan pendebat terbaik negara dalam kalangan pelajar sekolah dan universiti ini secara tidak langsung mampu memberi peluang kepada golongan belia membuktikan keupayaan dan bakat mereka dalam bidang perbahasan.

"Pertandingan ini juga bertujuan mengasah bakat dan kemahiran berkomunikasi mereka serta memupuk daya fikir yang kreatif dan kritis dalam menganalisis dan memberikan pandangan berkaitan isu semasa.

"Adalah penting untuk memupuk kesedaran mengenai perlindungan keselamatan sosial sejak usia muda dan program debat ini antara usaha kami untuk mendekatkan generasi muda dengan Perkeso dalam meningkatkan pemahaman mereka mengenai perlindungan keselamatan sosial," katanya ketika ucapan Majlis Penutup DMbP 2022.

2

John Riba Marin mewakili Subahan menyampaikan ucapan di Majlis Penutup Debat Malaya 2022.

Teks ucapan Subahan dibacakan oleh Timbalan Ketua Eksekutif (Operasi) Perkeso, John Riba Marin di Auditorium Kompleks Perdanasiswa, UM.

Sementara itu, Timbalan Canselor (Hal Ehwal Pelajar) Universiti Malaya, Prof Dr Sabri Musa, berkata program debat tahun ini dapat meningkatkan kemahiran komunikasi seseorang pelajar dan berharap ia dapat diteruskan pada masa akan datang.

"Melalui DMbP 2022 pelajar dapat mengasah kemahiran berfikir secara kritis kerana spektrum usul yang datang daripada pelbagai bidang, terutamanya pemahaman terhadap isu utama iaitu perlindungan keselamatan sosial.

"Kemahiran berfikir dan budaya intelek sangat penting untuk dipupuk pada peringkat awal sebegini dalam kalangan anak muda yang seharusnya bermula dari peringkat sekolah menengah sehinggalah ke peringkat universiti sebagai satu pakej dengan kecemerlangan akademik mereka.

"Universiti Malaya sangat mengutamakan dan sentiasa menyokong usaha murni yang dilaksanakan bersama organisasi seperti Perkeso diteruskan pada masa akan datang bagi memantapkan persediaan mental dan fizikal para pelajar selaku generasi yang bakal memimpin negara di masa hadapan," katanya.

Ketua Pegawai Eksekutif dan Hal Ehwal Perkeso, Izad Raya, berkata pihaknya sentiasa meneroka pendekatan yang segar dan berbeza dalam memastikan produk perkhidmatannya kekal relevan dan diterima baik oleh pelbagai lapisan masyarakat.

9

Dif kehormat bersama peserta dalam pertandingan Debat Malaya bersama Perkeso 2022.

"Program DMbP 2022 berjaya mencungkil bakat beberapa pendebat terbaik sepanjang pertandingan dan akan dilantik menjadi duta kecil kami," katanya.

Dalam pada itu, Pengarah Program Debat Malaya, Muhammad Amirul Izwan Ismail, berkata program ini boleh dimanfaatkan oleh pelajar dengan menjadikan ia sebagai medium melatih dan memperkasa kemahiran berfikir secara pantas, tangkas dan tuntas.

"Terdapat isu seperti pembentukan parti politik feminis dan isu industri hiburan yang setakat ini diulas dengan baik oleh para peserta, baik dari sekolah mahupun peserta dari IPT.

"Matlamat penganjuran program pada kali ini berjaya memberi pemahaman kepada semua peserta terhadap isu yang diperdebatkan," ujar beliau.

Diharapkan, kefahaman dan kesedaran generasi muda tentang pentingnya perlindungan keselamatan sosial akan menjadi pemangkin kepada masyarakat Malaysia yang lebih prihatin dan mementingkan kesejahteraan yang holistik tanpa meminggirkan mana-mana golongan di negara ini.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain