suria

Jajan, piza atau roti canai mana satu jadi pilihan? Ketahui 5 pengambilan snek cara bijak ketika tonton Piala Dunia

Ramai yang gemar menonton bola sepak di restoran mamak sambil menjamu selera. Gambar hiasan

DEMAM Piala Dunia FIFA kini kembali!

Bersiaran dari Qatar selaku tuan rumah pada edisi kali ini, sudah pastinya para peminat bola sepak tidak mahu melepaskan peluang menonton aksi pasukan kegemaran masing-masing.

Bercakap soal bola sepak, sememangnya ia cukup sinonim dengan restoran mamak.

Tidak kiralah menonton bersama keluarga atau rakan, pasti tidak lengkap tanpa kudapan atau snek ringan seperti roti canai, piza dan kacang berserta teh tarik.

ARTIKEL BERKAITAN: Teringin bertubuh kekar seperti Ronaldo? Cuba tinggalkan gula tambahan dalam makanan seharian

Dengan kebanyakan jadual perlawanan bermula pada waktu malam dan awal pagi, adalah amat mudah untuk kita leka dalam menjaga pengambilan makanan yang betul.

Justeru, cara anda menikmati snek ringan adalah sangat penting.

Syarikat snek, Mondelēz International menyenaraikan lima petua tabiat snek bijak yang mudah untuk diamalkan sepanjang musim Piala Dunia FIFA 2022, sebagaimana menurut pakar nutrisi.

1) Bahagikan snek kepada beberapa porsi (bahagian)

Bahagikan snek kepada dua atau tiga porsi setelah memilih snek untuk menggalakkan anda makan dengan lebih perlahan. Sambil anda menikmati snek, peka kepada keperluan tubuh dan perasaan anda, dan tanya pada diri sama ada anda sudah berasa kenyang dan berpuas hati sebelum menghabiskan porsi lain. Pastikan anda juga peka terhadap saiz hidangan setiap bungkusan snek, dan isi snek anda dalam mangkuk atau di atas pinggan bagi mendapatkan klu visual.

roti canai

Roti canai ibarat menu wajib di restoran mamak. Gambar hiasan

2) Ubah pilihan snek

Ketika menyaksikan perlawanan pada lewat malam, nafsu makan anda mungkin hadir walaupun selepas makan malam. Namun, ingatlah bahawa tubuh anda perlu bekerja lebih keras sekiranya anda makan terlalu lewat, ketika anda sedang tidur. Pilih snek yang lebih ringan dan dapat memberikan anda tenaga, tetapi tidak susah dihadam seperti kekacang atau buah.

3) Nikmati setiap kunyahan

Menikmati snek sambil melakukan aktiviti lain seperti menonton perlawanan boleh sepak boleh membawa kepada tabiat makan berlebihan. Oleh itu, nikmatilah snek anda dengan semua deria-deria tubuh. Bagi meningkatkan kepuasan menikmati snek, tumpukan perhatian kepada bau, rasa, tekstur, bentuk dan warna makanan anda. Kunyah makanan perlahan-lahan dan dengan suapan yang kecil sebelum kunyahan seterusnya.

makan 1

Elakkan mengambil makanan yang sukar dihadam terutama sebelum tidur. Gambar hiasan.

4) Jauhkan snek dari pandangan dan capaian

Ketika menyaksikan perlawanan di rumah, pastikan snek anda jauh dari pandangan dan capaian tangan anda. Ini dapat mengelakkan anda daripada terus makan tanpa henti dan akhirnya makan berlebihan tanpa sedar.

5) Minum banyak air

Pastinya sudah banyak kali kita dengar nasihat 'minum banyak air'. Sebenarnya, otak kita sentiasa memperdayakan kita untuk makan lebih, namun ia mungkin sekadar tindak balas tubuh terhadap dahaga kita. Jadi, minum segelas air dan tunggu beberapa minit sebelum menentukan sama ada anda benar-benar lapar atau tidak.

Amalan snek bijak merupakan cara mudah untuk memenuhi keperluan tubuh anda tanpa rasa bersalah.

Jadikan panduan mudah ini di musim demam bola sepak FIFA 2022 sebagai titik permulaan anda untuk menuju ke arah kehidupan yang lebih sihat.

Untuk inspirasi snek bijak, layari www.snackmindful.com.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain