suria

Jika anda duduk lebih 6 jam di ofis, cuba buat 6 senaman ini! Bergayut di palang baik untuk tulang belakang

Duduk lama di kerusi boleh bawa kesan buruk kepada bahagian belakang badan. -Gambar hiasan (freepik)

RAMAI dalam kalangan kita yang 'terperangkap' di pejabat dan terpaksa duduk di meja untuk bekerja selama hampir lebih enam jam.

Tahukah anda, jika amalan ini berlarutan untuk jangka masa panjang ia boleh mendatangkan mudarat terutamanya kepada bahagian belakang badan.

Seorang mentor kesihatan, Dan Go, menekankan bahaya yang menanti mereka berkerjaya dalam bidang korporat jika langkah pencegahan tidak diambil dengan kadar segera.

Antara risikonya ialah postur badan terjejas dari keadaan asal, penambahan berat badan yang boleh membawa kepada obesiti, sakit di bahagian leher, bahu dan pinggul serta risiko untuk depresi dan anxiety attack.

"Amalkan enam senaman ini supaya kita dapat mengelakkan diri dari menerima kesan buruk kerana duduk terlalu lama," kata Dan Go melalui perkongsiannya di laman Twiiter.

ARTIKEL BERKAITAN: Sakit belakang ketika mengandung mungkin hal biasa tapi penjagaan tulang belakang sebelum, semasa dan selepas hamil sangat penting!

1) Senaman bar (Calistenics)

Antara latihan fizikal yang sering dipandang ringan oleh orang ramai adalah senaman bar atau lebih dikenali sebagai 'calisthenics'.

Senaman ini dapat membantu mengekalkan postur badan yang sihat, menstabilkan bahu dan meregangkan tulang belakang selepas duduk untuk masa yang lama.

Jika anda baru hendak memulakan senaman bar, amalkan ia selama 30 saat setiap hari.

Jika anda sudah biasa melakukannya secara berkala, amalkan senaman bar selama seminit atau lebih setiap hari.

Duduk lama di pejabat boleh menyebabkan sakit belakang (Gambar hiasan, Freepik)

2) McGill Big 3

Tiga teknik senaman ini boleh dikategorikan di bawah satu set iaitu 'McGill Big 3'

Latihan ini terdiri dari McGill Crunch, Side Plank Holds dan Focused and Activated Bird Dogs.

Set senaman ini boleh meningkatkan ketahanan pinggul badan dan menigkatkan pusat kestabilan di bahagian abdomen (perut).

Buat set senaman ini sebanyak enam kali sehari. Perubahan positif dapat dilihat selepas mengamalkannya untuk tiga hingga empat hari seminggu selama tiga minggu berturut-turut.

Berikut adalah cara untuk melakukan set senaman tersebut (lihat gambar)

Set senaman McGill Big 3

3) Senaman punggung (Glute bridge holds)

Jika otot di bahagian punggung kita lemah, ia akan meletakkan bebanan tambahan kepada otot di bahagian belakang badan yang berfungsi menstabilkan diri.

Salah satu cara yang terbaik dan selamat untuk menguatkan otot punggung adalah dengan membuat senaman punggung.

Buat senaman ini sebanyak 20-30 kali sehari.

Berikut adalah cara untuk melakukan senaman tersebut (lihat gambar)

Senaman punggung

4) Senaman cat cow

Senaman cat cow boleh meningkatkan fleksibiliti leher, bahu dan tulang belakang.

Semasa regangan ini, anda membiasakan tulang ekor untuk bergerak dan melepaskan stres di leher dan separuh bahagian atas badan.

Amalkan senaman ini sebanyak 8-10 kali sehari.

Berikut adalah cara untuk melakukan senaman tersebut (lihat gambar)

Senaman cat cow

5) Regangan couch stretch

Duduk untuk jangka masa yang lama boleh menyebabkan pinggul rasa terbeban dan boleh mengakibatkan sakit belakang dan lutut.

Senaman couch stretch boleh mengurangkan kesakitan di belakang dan lutut anda sambil menguatkan otot punggung dan abdomen.

Amalkan regangan ini selama 30 saat atau lebih setiap hari.

Berikut adalah cara untuk melakukan regangan tersebut (lihat gambar)

Regangan couch stretch

6) Berjalan di luar

Apabila ada masa lapang sekejap, keluar untuk berjalan dan ambil udara segar.

Salah satu cara yang paling mudah untuk bakar kalori sebenarnya adalah dengan berjalan.

Berjalan boleh membantu anda untuk mendapatkan kesihatan yang lebih baik dan secara tidak langsung melegakan sakit kronik.

Berjalan sebanyak 8,000 sehingga 10,000 langkah setiap hari boleh memastikan badan anda ada pergerakan yang diperlukan selepas seharian duduk di kerusi.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain