PERKONGSIAN seorang wanita yang menggunakan talam untuk menyejukkan suhu di kediamannya meraih perhatian ramai di media sosial. Menurut Husna Haron, idea itu timbul secara spontan selepas dia menumpahkan air secara tidak sengaja di kediamannya. "Ingat lagi dulu saya tinggal rumah sewa. Semuanya selesa, tapi panas sangat. Setiap petang balik kerja, macam masuk ketuhar. Sangat panas. "Suatu pagi saya bergegas, anak saya tumpahkan satu jag air atas lantai. Saya biarkan saja sebab dah lambat nak pergi kerja. Lampu kipas pun tak sempat tutup. "Bila balik rumah, eh pelik sangat rumah rasa nyaman. Diringkaskan cerita, rupanya air yang tersejat dek kerana kipas setiap masa terbuka dan wap air berkumpul di sekeliling ruang tertutup rumah," imbasnya. Sejak peristiwa itu, dia mendapat idea untuk mengisi air di dalam talam dan membiarkan ia tersejat di bawah kipas. Bukan sekadar untuk makan, talam juga boleh menyejukkan rumah. Foto: Facebook. "Satu talam di ruang tamu, satu talam di bilik tidur. Sungguh benar, rumah jadi sejuk. Saya buat macam tu setiap hari. Rasa nyaman sangat rumah. Simple saja. "Sampai satu peringkat, saya cuma buat waktu malam saja. Sebab memang tidur pakai kipas kan. Waktu siang dah tak buat. Alhamdulillah, mantain sejuk juga rumah," ujarnya. ARTIKEL BERKAITAN: Wanita kongsi cara mudah dan murah sejukkan rumah tanpa pasang aircond, kini menggigil tidur malam! Tambah wanita itu, orang ramai yang mahu mencuba teknik itu boleh juga menggunakan besen jika tidak mempunyai talam. Namun, dia turut berpesan agar air diganti setiap hari bagi mengelakkan pembiakan jentik-jentik. "Letakkan garam juga supaya jentik-jentik tak boleh hidup. Untuk permulaan, jangan buka tingkap rumah ya. "Sekiranya rumah anda menghadap matahari jatuh, sila beli bidai atau pokok untuk kurangkan cahaya panas tu," ujarnya lagi. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube