PETANI biasanya akan menggunakan baja sama ada jenis kimia atau organik bagi menyuburkan tanaman mereka. Namun bagi individu yang gemar bercucuk-tanam secara kecil-kecilan di sekitar rumah, anda boleh menghasilkan baja organik menggunakan sisa makanan harian. Menurut Azuan Abdullah, dia hanya menggunakan sisa makanan seperti kepala udang dan perut ikan untuk dijadikan sebagai baja tanaman. "Setiap kali siang udang dan ikan, kepala udang dan perut ikan saya akan simpan. Benda boleh buat baja, buat apa kita buang kan. Dua-dua sisa ni sangat power apabila digunakan pada pokok. Anda boleh membuat alur atau parit kecil di sekeliling pokok untuk dijadikan sebagai tempat menabur baja. "Kepala dan kulit udang ni kaya dengan chitin atau chitosan. Banyak sangat kelebihan chitosan ni. Antaranya boleh meningkatkan tahap antibodi pokok terhadap sesuatu penyakit dan boleh juga merangsang tumbesaran pokok supaya jadi lebih subur. "Insang dan perut ikan pula kaya dengan unsur nitrogen dan asid amino. Antara fungsi penting asid amino adalah membantu dalam proses kelekatan bunga," ujarnya yang menggunakan baja itu untuk menyuburkan pokok limau kasturi. Menurut Azuan, pokok limau kasturi yang disuburkan dengan baja buatan sendiri itu membesar dengan sihat dan menghasilkan buah yang lebat. Sisa makanan perlu dikambus menggunakan tanah untuk menghalang kehadiran lalat. Cara-cara: 1. Mula-mula kita buat alur di bawah kanopi daun pokok tersebut. Saya buat alur di keliling pokok. Kedalaman alur lebih kurang tiga hingga empat inci. 2. Tabur kulit udang dan insang ikan ke dalam alur yang dibuat. Sebaiknya ditabur biar sekata. 3. Siap tabur, kambus balik alur itu. Ia penting supaya sang lalat tak datang 'berkampung' di kawasan itu. 4. Akhir sekali, anda boleh menyiram tanaman yang dikambus dengan baja itu menggunakan air basuhan beras. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube