suria

Sayangnya nasi cepat basi tak sampai 24 jam... Suri rumah ini syak periuk tak bersih, siap ajar cara cuci guna asam keping

Seorang individu berkongsi cara mudah untuk mencuci periuk nasi.

SUDAH menjadi kebiasaan para ibu yang suka memasak nasi dalam kuantiti banyak.

Selain boleh ulang makan, lebihan nasi yang tidak habis biasanya digunakan untuk masak nasi goreng pada pagi esoknya.

Tapi alangkah kecewanya apabila nasi cepat basi tidak sampai 24 jam disimpan.

Bagi mengelakkan berlakunya pembaziran sedemikian berulang kali, bolehlah cuba tip yang dikongsikan Ida Shahida di Facebook ini.

Asam keping biasanya digunakan dalam pelbagai jenis masakan di negara ini.

Menerusi hantaran dibuat, jelasnya, punca nasi menjadi basi adalah disebabkan periuk nasi digunakan tidak dicuci dengan bersih.

Malah masih terdapat baki nasi terdahulu dan kekotoran yang tidak tertanggal sebelum menanak nasi baharu.

Keadaan ini menyebabkan berlaku pembiakan bakteria dalam periuk yang jadi punca nasi ditanak cepat basi.

Bagi memastikan perkara sama tidak berlaku lagi, basuh periuk anda mengikut petua mudah ini:

1. Ambil periuk nasi bersama dengan tudung (penutup) sekali.

Basuh periuk bersih-bersih menggunakan sabun. Pastikan tiada baki nasi melekat tertinggal.

Garam kasar digunakan untuk mencuci periuk nasi yang kotor.

2. Sediakan garam kasar sebanyak tiga genggam penuh kemudian campurkan asam gelugur atau asam keping sebanyak 10 keping.

3. Tambah sedikit air supaya garam dan asam dapat bersatu (bercampur).

Bersihkan periuk dengan tangan guna air garam dan asam keping selama tiga hingga empat minit.

Kemudian, biarkan rendaman selama 15 minit.

4. Ulang sehingga tiga hingga empat kali. Lakukan pada tudung periuk juga.

Kemudian basuh periuk dan penutup dengan sabun dan bilas bersih.

Didihkan air selama 15 minit sebelum keringkan periuk.

5. Akhir sekali, didihkan air dalam periuk tersebut selama 15 minit.

Tuang air didihan dan keringkan periuk.

Sekiranya berlaku lagi kejadian nasi basi, ulang langkah di atas supaya periuk kembali bersih.

Semoga bermanfaat!

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain