suria

Indah, berubah wajah! Macam tak percaya rumah wedding planner pernah ditenggelami banjir, semua perabot terapung

Rumah Teemor ditenggelami banjir pada Disember 2021.

REKA bentuk menarik dan ketelitian yang tiada tandingan sentiasa menjadi 'trademark' untuk pelamin, dekorasi dan hiasan perkahwinan yang mendapat sentuhan Reka Teemor.

Tidak hairanlah apabila pasangan perancang perkahwinan terkenal ini turut menerapkan elemen-elemen tersebut di kediaman mereka.

Pasangan suami isteri di sebalik kemahsyuran nama Reka Teemor, Faiz Sabari dan Rozana Mumtaz, berpindah ke rumah yang didiami mereka sekarang kira-kira sembilan tahun lalu dan ia dikenali sebagai Rumah Teemor.

Direka oleh Faiz sendiri, rumah itu mempunyai keluasan dalaman 10,000 kaki persegi (929 meter persegi) dengan konsep gabungan hiasan moden yang ringkas berserta warisan tradisional.

“Kami banyak mengembara dan sering mendapat inspirasi dari tempat-tempat yang dilawati. Rumah ini direka bentuk untuk menjadi fleksibel supaya jika kami ingin memperkenalkan lebih banyak perabot moden, ia boleh disesuaikan dengan baik dengan elemen tradisional.

Kawasan luar rumah yang dinaiki air paras tinggi.

“Sebagai contoh, kami mempunyai gerobok tradisional yang cantik, sebuah almari lama yang kami temui di Yogyakarta. Disebabkan saya mempunyai 'akar' Jawa, saya mahukan sesuatu berkaitan dengan warisan saya.

"Selepas almari itu dibaiki, ia kini menempatkan koleksi bekas tembaga kami termasuk tepak sirih dan kotak barang kemas lama. Ini sememangnya sesuai dengan hakikat bahawa kami adalah perancang perkahwinan," kongsi Faiz.

Terletak di atas tanah keluarga seluas 1.5 ekar (0.6ha) yang turut menempatkan rumah ibu dan adik-beradik Faiz, kediaman pasangan ini sangat istimewa kerana ia menampilkan struktur kayu asli dari rumah keluarga Faiz di Batu Pahat, Johor.

“Apabila rumah keluarga itu dibawa ke sini, kami menyedari bahawa sukar untuk mengekalkan rumah kayu dalam kehidupan seharian.

"Jadi, selepas mengkaji binaan rumah itu, kami memutuskan untuk mengekalkan gaya asasnya, iaitu Limas Johor dan memasang pintu dan tingkap kayu utama di tingkat atas, terutamanya di perpustakaan," kata Faiz.

ARTIKEL BERKAITAN: Wanita ‘bangkit’ berkemas selepas puas menangis tengok rumah baru beli tenggelam, menakjubkan kini berseri macam tak pernah kena banjir

Pasangan itu mengambil masa hampir empat tahun untuk membina rumah mereka dan sentuhan ajaib Faiz dan Rozana ternyata menakjubkan dengan setiap sudut dikenakan dengan warna yang koheren dari tingkat bawah ke atas.

"Kami tak mahu rumah yang sangat besar, kami mahukan rumah yang boleh digunakan dalam segala perkara. Saya bina banyak pintu masuk yang membolehkan akses mudah semasa perhimpunan keluarga besar seperti kenduri atau majlis tahlil.

"Kami benar-benar terinspirasi dengan hotel butik kecil terutamanya tentang cara mereka menguruskan ruang terhad dengan akses untuk katerer masuk supaya tidak mengganggu tetamu.

"Sebagai contoh, anda akan dapati di belakang rumah kami terdapat kawasan berbumbung untuk dapur basah yang orang tidak akan perasan dari hadapan," kongsi Rozana.

Namun, musibah tak dijangka iaitu banjir teruk berlaku pada Disember 2021.

Keadaan rumah semasa dilanda banjir (kiri) dan keadaan rumah terkini.

Seperti kebanyakan rumah di kawasan didiami mereka di Shah Alam, Selangor, Rumah Teemor tidak terlepas daripada mengalami kemusnahan.

“Tragedi itu adalah masa yang sangat mengerikan bagi kami. Kami tidak berada di rumah ketika banjir, hanya ada anak perempuan dan pembantu rumah.

"Kami berada di bandar menguruskan sebuah perkahwinan apabila panggilan mula masuk memaklumkan air telah meningkat," imbas Rozana.

Ahli keluarga yang lain segera berkumpul di rumah mereka dan menuju ke tingkat dua untuk menyelamatkan diri ketika paras banjir semakin tinggi.

Dengan bekalan kuasa terputus dan akses disekat, Faiz dan Rozana hanya boleh pulang ke rumah mereka dua hari kemudian.

“Sangat mengejutkan melihat kerosakan disebabkan banjir. Semuanya terapung termasuklah peti sejuk dan perabot. Kami syukur kerana seluruh keluarga selamat,” kongsi Rozana.

Pada masa itu majlis perkahwinan pelanggan masih perlu diteruskan seperti yang dirancang dan dalam masa sama pasangan itu terus bekerja untuk membersihkan rumah mereka.

Faiz dan Rozana tetap menyiapkan tempahan pelanggan setiap minggu walaupun rumah rosak ditenggelami banjir.

“Tiada masa untuk kami meratapi kesengsaraan. Kami menerima tempahan perkahwinan untuk setiap hujung minggu dan mengharapkan rumah kami diperbaiki secepat mungkin,” kongsi Rozana.

Pengubahsuaian kediaman selepas banjir mengambil masa beberapa bulan untuk disiapkan, tetapi semangat perayaan masih ada pada setiap bilik di dalam rumah.

Perabot yang boleh diselamatkan telah dilapis semula atau dicat baharu. Salah satu perubahan besar yang dilakukan semasa pengubahsuaian adalah menukar lantai kayu mereka kepada jubin tersuai.

"Kami telah mengekalkan tema putih keseluruhan, tetapi kami menambah warna biru lembut menghasilkan ruang yang bersih dan menenangkan, menjadikannya sangat cantik.

"Ini cara kami untuk memulakan perkara baharu dan tidak pernah berputus asa,” ujarnya lagi. - THE STAR

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain