SETIAP pemilik kereta semestinya teruja untuk mencantikkan kenderaan mereka dengan menambah aneka aksesori, lebih-lebih lagi jika kereta baharu. Terdapat banyak aksesori kereta yang dijual di kedai mahupun secara dalam talian (online) ketika ini. Cantik memang cantik... namun tahukah anda, sesetengah aksesori bukan sahaja tidak perlu digunakan, sebaliknya berpotensi membahayakan nyawa pemandu dan penumpang. Menerusi perkongsian seorang TikToker yang banyak berkongsi tip tentang kereta, @wapcar_adrian, dia menyenaraikan empat jenis aksesori kereta yang berbahaya jika digunakan. 1) Karpet pelapik kaki dengan saiz yang tidak betul Karpet dengan potongan saiz yang tidak sesuai boleh menyebabkan brek tersangkut. Lebih-lebih lagi sekiranya tebal, ia mengundang risiko tanpa disedari 2) Penutup papan pemuka (dashboard cover) Sememangnya nampak cantik dengan warna atau corak yang digemari pemilik ketika dihampar di atas dashboard (papan pemuka). Namun aksesori ini boleh menghalang pembentukan airbag (beg udara) ketika kemalangan di mana ia tidak akan terbuka dengan sempurna. 3) Klip tali pinggang keselamatan (seatbelt clip) Ramai menggunakan aksesori ini kerana tidak mahu memakai tali pinggang keledar yang betul dan mahu menghentikan bunyi amaran (seatbelt alarm). Tahukah anda, penggunaan aksesori ini amat berbahaya kerana ia tidak mampu menampung berat badan pemandu apabila berlaku kemalangan. Klip boleh tercabut ketika berlaku hentaman atau impak yang kuat, sekali gus pemandu boleh tercampak. Lebih memburukkan keadaan, jika aksesori ini dijumpai dalam kereta ketika kemalangan oleh pihak insurans, pemilik kenderaan berkemungkinan tidak boleh boleh membuat tuntutan insurans. Rugi bukan? 4) Sticker berlian pada stereng Jika airbag meletup ketika kemalangan berlaku, pelekat ini terpelanting dan mungkin terkena pada muka pemandu, sekali gus boleh menyebabkan kecederaan. Ingat, jangan beli aksesori hanya kerana mahu kelihatan cantik atau trendy semata-mata. Keselamatan nyawa anda lebih berharga daripada aksesori ini. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube