suria

Karnival Usahawan Desa kembali... Pengunjung boleh guna kod QR untuk pembayaran, mudah sangat!

KKDW menyasarkan seramai satu juta pengunjung hadir ke KUD @ Putrajaya 2023.

SERAMAI satu juta pengunjung dijangka merancakkan Karnival Usahawan Desa (KUD) @ Putrajaya 2023 di Anjung Floria, Putrajaya anjuran Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW).

Ketua Setiausahanya, Datuk Seri Ramlan Harun berkata, kira-kira 800 usahawan dijemput bagi memperkenalkan produk pelancongan luar bandar menerusi karnival yang bakal berlangsung 22 hingga 26 November ini.

Ia dibuka setiap hari bermula daripada pukul 10 pagi sehingga 10 malam setiap hari

"Majoriti usahawan-usahawan luar bandar terlibat adalah terdiri daripada kategori makanan dan minuman, diikuti kategori fesyen pakaian wanita, lelaki dan kanak-kanak, kecantikan dan kesihatan, kraftangan dan produk pertanian.

"Penjual masakan panas dan penjaja kecil yang menjual pelbagai makanan dan minuman daripada agensi-agensi di bawah KKDW antara usahawan bakal memeriahkan lagi program pada kali ini.

"Program KUD @ Putrajaya juga menyasarkan transaksi jualan sehingga RM10 juta yang meliputi jualan tunai, padanan perniagaan dan tempahan,” katanya.

Ketua Pengarah Majlis Amanah Rakyat (Mara), Datuk Seri Azhar Abdul Manaf (kiri), Rubiah (dua dari kiri), Ramlan (dua dari kanan) dan Timbalan KSU KKDW (Dasar), Datuk Che Murad Sayang Ramjan.

Majlis PraPelancaran KUD @ Putrajaya di Sri Pentas Bandar Utama, Petaling Jaya yang diadakan pada Khamis turut dihadiri Timbalan Menteri KKDW, Datuk Rubiah Wang.

Dalam pada itu Ramlan berkata, beberapa aktiviti menarik turut bakal diadakan sepanjang karnival antaranya Forum Perdana Ehwal Islam, aktiviti menyumpit, memanah, paintball, pertandingan memancing, Fun Run dan Fun Ride 15 kilometer dan banyak lagi.

Persembahan istimewa daripada artis-artis terkenal seperti Datuk Ramli Sarip, Datuk Nash, Datuk Khadijah Ibrahim, Ella, Ziana Zain, Khai Bahar, Syamel dan Ernie serta Kumpulan Floor 88 turut menanti pengunjung.

"Penyediaan perkhidmatan Shuttle Bus untuk KUD @ Putrajaya pada 2019 turut dikekalkan untuk program kali ini dengan penambahbaikan seperti memperkenalkan perkhidmatan Buggy dan Porter untuk memudahkan para pengunjung memuatkan hasil pembelian ke dalam kenderaan masing-masing.

"Bagi memudahkan para pengunjung ke KUD @ Putrajaya ini mendapatkan masakan panas yang disajikan, KKDW akan memperkenalkan centralised kitchen.

"Para pengunjung boleh membuat pesanan makan dan minuman dengan mengimbas kod QR yang boleh didapati di sekitar lokasi KUD @ Putrajaya serta pembayaran menerusi aplikasi yang disediakan," katanya lagi.

Antara usahawan yang hadir ketika Majlis PraPelancaran KUD @ Putrajaya di Sri Pentas Bandar Utama.

Katanya lagi, pameran agensi pada KUD @ Putrajaya kali ini juga mendapat sokongan penyertaan daripada agensi luar KKDW seperti Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM), Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Agrobank serta Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Turut bakal menyertai pameran ialah Halal Development Corporation (HDC), Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) dan Unit Penyelarasan Lonjakan Prestasi (PACU), Jabatan Perdana Menteri (JPM).

KKDW turut bekerjasama dengan 10 agensi seperti Majlis Amanah Rakyat (Mara), Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA), Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS), FELCRA Berhad serta Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (KETENGAH).

Selain itu ialah Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA), Lembaga Kemajuan Wilayah Pulau Pinang (PERDA), Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (KESEDAR), Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA) dan Lembaga Kemajuan Johor Tenggara (KEJORA).

KUD @ Putrajaya 2023 juga dimeriahkan lagi dengan penggunaan kupon penggalak jualan bernilai sehingga RM200,000 yang akan diberikan secara percuma khas buat para pengunjung karnival.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain