SIAPA sahaja yang tidak mahu bersara awal? Pasti ramai dalam kalangan kita mempunyai impian untuk direalisasikan selepas bersara, antaranya mengelilingi dunia bersama pasangan, menghabiskan masa dengan aktiviti kebajikan dan sebagainya. Tidak ada salahnya sekiranya anda merancang untuk bersara awal, lebih-lebih lagi apabila sudah mencapai status bebas hutang dan mempunyai kewangan yang kukuh. Bagi anda yang merancang untuk bersara awal, apa yang perlu diberi perhatian adalah melakukan perancangan dengan teliti dan menyeluruh dari segenap aspek. Ia penting agar anda tidak terjerat dengan pelbagai konflik kehidupan atau hutang selepas beberapa tahun bersenang-lenang bersara awal. Berikut adalah enam tip yang boleh dijadikan panduan sekiranya anda merancang untuk bersara awal, sebagaimana perkongsian satu akaun di laman X, @directlending: 1) Bajet dan rancang kewangan Semak gaji dan perbelanjaan setiap bulan. Bahagikan duit anda mengikut keperluan, hutang, pelaburan dan simpanan. 2) Melabur awal Asingkan duit anda untuk pelaburan seperti ASB, emas atau saham. Melabur awal adalah salah satu cara untuk membantu kembangkan duit anda. Bagi anda yang merancang untuk bersara lebih awal, lakukanlah perancangan dari segi kewangan. -Gambar hiasan/The Star 3) Tetapkan matlamat jangka pendek dan panjang Tetapkan matlamat jangka pendek seperti mahu membeli kereta, rumah dan sebagainya, dan matlamat jangka panjang (bersara) untuk perancangan yang teratur. 4) Jana pendapatan pasif Cari peluang untuk meraih pendapatan tambahan secara sambilan seperti buat bisnes mengikut kemahiran masing-masing, menyewakan aset seperti rumah atau kereta. Duit lebihan boleh disimpan untuk pelaburan. 5) Urus hutang dengan bijak Usaha untuk menyelesaikan hutang beberapa tahun sebelum merancang untuk bersara. Elakkan berbelanja secara berlebihan dan menambah hutang besar. 6) Bina dana kecemasan Dana kecemasan dapat membantu melindungi kewangan anda daripada 'tergelincir'. Seeloknya, sediakan dana kecemasan ini menyamai kadar pendapatan bulanan yang anda peroleh untuk tempoh tiga hingga enam bulan gaji. Contohnya jika gaji anda RM5,000 sebulan, dana kecemasan ini sekurang-kurangnya berjumlah RM15,000. Lebih awal anda merancang, maka lebih cerahlah peluang anda untuk memilih persaraan yang menarik dan gembira pada usia awal. Semoga bermanfaat! Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube