suria

Cuci guna sabun paling harum, baru pakai sekejap dah hilang bau! Ikut 5 tip ini agar pakaian kekal wangi

Haruman pada pakaian akan hilang dengan cepat jika tersalah teknik cucian. -Gambar hiasan/The Star

MENGENAKAN pakaian yang wangi bukan sahaja membuatkan diri dan orang sekeliling berasa selesa, bahkan dapat membangkitkan mood serta semangat seseorang.

Bagaimanapun, ada kalanya haruman pada pakaian cepat 'menghilang' meskipun baru dipakai.

Perlu diketahui bahawa sekiranya tersalah teknik membasuh dan menyimpan pakaian, haruman daripada sabun pencuci yang paling wangi juga akan menghilang dengan cepat.

Untuk mengekalkan haruman pada pakaian supaya tahan lebih lama, apa kata ikuti lima tip di bawah:

1) Pilih sabun pencuci yang tepat

Terdapat pelbagai jenis dan jenama sabun pencuci pakaian di pasaran. Ada yang mungkin berbau harum apabila penutup botol dibuka, namun tidak semestinya ia kekal lama pada pakaian.

Oleh itu, sebaik-baiknya pilih sabun pencuci pakaian yang dilengkapi dengan pewangi yang kuat atau bersama cecair pelembut.

baju 3

Untuk mengharumkan pakaian, sebaiknya gunakan sabun pencuci bersama pelembut fabrik. -Gambar hiasan/The Star

2) Guna bersama cecair pelembut fabrik

Cecair pelembut bukan sahaja bertindak melembutkan fabrik, malah ia juga menambahkan wangian pada pakaian yang dicuci.

Tanpa sedar, mungkin ramai dalam kalangan kita tersalah teknik ketika menggunakan cecair pelembut fabrik. Tip penting adalah, jangan masukkannya pada awal cucian.

Sebaliknya masukkan cecair pelembut sebelum bilasan terakhir untuk mengelakkan ia dicuci bersih dengan air basuhan.

ARTIKEL BERKAITAN: Baju baru basuh tapi bau hapak? Ini senarai kesilapan, pantang larang ketika mahu cuci baju

3) Jangan biar lama di dalam mesin basuh

Sebaik sahaja pakaian siap dicuci, terus keluarkannya daripada mesin basuh dan sidai di ampaian.

Tabiat segelintir individu yang mencuci pakaian pada waktu malam dan menyidai pada keesokan hari sebenarnya membuatkan pakaian berbau kepam.

Ini disebabkan kehadiran bakteria yang membiak pada pakaian yang masih lembab.

baju 1

Simpan baju di dalam almari selepas memastikannya benar-benar kering. -Gambar hiasan

4) Pastikan baju benar-benar kering

Cuaca yang tidak menentu membuatkan pakaian tidak kering sepenuhnya dan sedikit lembap. Oleh itu, jangan terburu-buru melipat pakaian.

Pakaian yang disimpan dalam keadaan ia masih lagi lembap akan membiakkan bakteria dan menyebabkan pakaian menjadi hapak, berbau busuk dan semestinya menghilangkan bau wangi pakaian.

Sebaik-baiknya, gantungkan di ruang yang terbuka terlebih dahulu sehingga ia benar-benar kering.

5) Simpan pakaian di tempat yang gelap dan kering

Tahukah anda, almari atau tempat penyimpanan pakaian yang kering dan gelap akan merencatkan pertumbuhan bakteria?

Ini sekali gus dapat memelihara bau wangi pakaian yang baru dicuci.

Oh ya, pastikan almari yang digunakan itu sesuai untuk menyimpan pakaian kerana sesetengah bau kayu almari boleh menyerap masuk ke dalam pakaian anda. Semoga bermanfaat!

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain