suria

Peneroka Felda dapat ‘duit raya’ menjelang Aidilfitri, lebih ramai generasi ke-4 dan ke-5 akan dibantu

Peneroka Felda bakal menerima bantuan khas bersasar menjelang sambutan Aidilfitri.

PENEROKA Felda yang berpendapatan RM1,000 ke bawah bakal menerima bantuan khas bersasar sebanyak RM300 menjelang sambutan Aidilfitri.

Bantuan kepada setiap peneroka di 317 Tanah Rancangan Felda di seluruh negara itu diumumkan oleh Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi di Program Iftar Majlis Santunan Kasih Ramadan di MRSM Felda pada Selasa.

Selain itu, peneroka yang berpendapatan RM1,001 hingga RM2,000 pula akan mendapat penangguhan potongan hutang (tidak termasuk Kos Operasi Ladang) untuk hasil bulan Mac.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) turut berkata kementerian meluluskan projek membina jalan dari Felda Trolak Selatan ke Pekan Trolak, Muallim, Perak pada tahun lepas dengan kos RM35 juta.

"Projek di bawah Program Jalan Luar Bandar (JALB) ini sedang dalam peringkat reka bentuk dan dijangka ditender pada Oktober 2024. Skop projek ini adalah membina jalan sepanjang 2.3km dengan spesifikasi JKR R1.

"Agensi pelaksana projek ini adalah Jabatan Kerja Raya dan bakal memberi manfaat kepada penduduk di Felda Trolak dengan menjimatkan masa perjalanan ke pekan Trolak dari 30 minit kepada 10 minit sahaja," ujarnya.

Ahmad Zahid berucap di Program Iftar Majlis Santunan Kasih Ramadan di MRSM Felda.

Ahmad Zahid berucap di Program Iftar Majlis Santunan Kasih Ramadan di MRSM Felda.

Bagi memberi peluang kepada generasi ke-4 dan 5 Felda, Ahmad Zahid berkata Majlis TVET Negara diarahkan untuk menyelaraskan program TVET khususnya TVET Generik dan TVET Aras Tinggi bagi meningkatkan kemahiran dan menjana pendapatan.

Ini termasuk tawaran kursus oleh Institusi TVET Awam seperti GiatMARA, Akademi Binaan Malaysia, Institut Latihan Perindustrian, Kolej Yayasan Felda dan Kolej Komuniti.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid berkata UniKL sebagai salah satu Rangkaian Universiti Teknikal Malaysia (MTUN) menerima 29 anak Felda (13 Ijazah, 16 Diploma) pada tahun lepas.

"Saya ingin menawarkan untuk lebih ramai anak-anak Felda khususnya generasi 4 dan 5 untuk menyertai UniKL bagi menyertai industri termaju termasuk telekomunikasi, tenaga boleh diperbaharui, kecerdasan buatan, industri aeroangkasa, marin dan rel.

"Saya mensasarkan sekurang-kurangnya 50 orang anak Felda untuk menyambung pengajian di UniKL khususnya kursus TVET pada sesi pengambilan akan datang. Insya-Allah Mara akan membantu dari segi kesesuaian pinjaman pelajaran," katanya.

WhatsApp Image 2024-03-20 at 9.19.31 AM

Pelbagai bantuan disalurkan kepada peneroka Felda di seluruh negara.

Dalam majlis itu, Ahmad Zahid turut menyerahkan sumbangan berjumlah RM66,050 kepada 307 anak yatim dan golongan asnaf dari sekitar Trolak termasuk pemberian duit raya kepada pelajar Maahad Tahfiz.

Sumbangan ini disalurkan oleh FGV Holdings Bhd berjumlah RM50,000, RM13,000 dari Waqaf Felda dan baki RM3,050 dari JKKR Gabungan Wilayah Trolak.

Yayasan Felda dan Felda Global Venture Holdings Berhad turut menjalankan tanggungjawab sosial (CSR) mengagihkan barangan kelengkapan persekolahan di setiap sekolah di kawasan tanah rancangan Felda menerusi “Program Welcome To School”

Jumlah agihan tersebut melibatkan 270 buah sekolah kebangsaan termasuk 20 buah sekolah di Wilayah Trolak dengan jumlah 656 murid dengan peruntukan RM98,400.

Agihan itu juga akan diteruskan kepada 14,500 pelajar iaitu 11,500 semua pelajar tahun 1/2024 di seluruh sekolah di kawasan tanah rancangan Felda dan 3,000 set diedarkan kepada warga Felda yang menetap di Luar Tanah Rancangan (Lembah Klang, Shah Alam, Johor Bahru, Ipoh & Kuantan) dengan peruntukan RM2,175,000.

Ahmad Zahid turut menyerahkan hasil pendapatan projek Program Pembangunan Peneroka (PPP) yang diperolehi dalam tempoh setahun berjumlah RM400,000.

Program iftar itu bertujuan merapatkan ukhwah antara pihak Kementerian dengan warga Felda  dan masyarakat setempat.

Program iftar itu bertujuan merapatkan ukhwah antara pihak Kementerian dengan warga Felda dan masyarakat setempat.

Dalam pada itu, Maktab Rendah Sains Mara Felda (MRSMF) yang merupakan MRSM kelima di Negeri Perak turut menerima peruntukan berjumlah RM280,000 melalui peruntukan Tabung Khas Penyelenggaraan IPMA di bawah Rancangan Malaysia Ke-12. (RP4 2024).

Melalui kerjasama di antara Mara dan Felda, Program Ulul Albab akan diwujudkan di MRSM Felda bagi melahirkan “Imtiaz Firdaus” atau generasi Fekda yang cemerlang menjelang 2050.

Program ini adalah pendidikan integrasi antara program pendidikan sedia ada (Sains Tulen) dengan program aliran agama termasuk Tahfiz al-Quran.

Hampir 2,000 komuniti Felda Trolak, pelajar MRSMF, anak yatim dan pelajar tahfiz diraikan di Majlis Santunan Kasih Ramadan anjuran Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah.

Program Iftar yang memasuki tahun kedua penganjurannya ini untuk merapatkan ukhuwah antara pihak kementerian dengan warga Felda dan masyarakat setempat.

Majlis berikutnya akan diadakan di Nibong Tebal, Pulau Pinang; Labuan; Pendang, Kedah; Kuala Langat, Selangor dan berakhir di Bagan Datuk, Perak

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain