suria

Pameran Pendidikan Star kembali, ‘influencer’ tegur sikap lepasan SPM tak mahu belajar... Sibuk nak jadi artis!

Pameran Pendidikan Star mendapat sambutan anak muda.

PAMERAN Pendidikan Star terus komited membantu lebih ramai pelajar dan lepasan sekolah menengah mendapat maklumat mengenai hala tuju, minat, bidang bersesuaian serta peluang pengajian yang ditawarkan institusi pengajian tinggi (IPT).

Sempena penganjuran kali ke-37 di IoI Grand Putrajaya kali ini, seorang pempengaruh pendidikan Shamellya Norazizi tampil berkongsi pengalaman mengenai pilihan serta hala tuju selepas peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

“Dulu kita ada guru-guru dan senior untuk beri bimbingan secara terus tentang hala tuju tetapi sekarang anak-anak remaja lebih gemar membuat carian sendiri di media sosial.

“Jadi kita nak hapuskan stigma negatif yang tersebar kerana kehidupan universiti menarik untuk mereka timba pengalaman,” ujarnya yang pernah berkhidmat sebagai penyampai berita di saluran TV9.

Berpengalaman luas dalam aktiviti pembangunan belia, wanita berusia 27 tahun ini turut menyelar persepsi sesetengah individu yang menjadikan alasan kewangan sebagai kekangan utama untuk tidak melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi.

Shamellya pernah menjadi pembaca berita di TV9.

Shamellya pernah menjadi pembaca berita di TV9.

Menyedari ramai anak muda lebih memilih bidang pekerjaan seperti pempengaruh, artis, selebriti mahupun usahawan kerana dilihat mudah menjana pendapatan lumayan, ujarnya situasi tersebut tidak berkekalan kerana populariti mahupun kecantikan boleh lenyap ditelan zaman.

Dalam pada itu, graduan jurusan Kewangan daripada Universiti Teknologi Mara (UiTM) itu turut menyeru anak muda supaya membuka minda dan berfikir tentang kehidupan 10 tahun akan datang supaya tidak terkandas di kemudian hari.

“Saya rasa dunia sekarang sangat mencabar dan dalam masa sama kita tak tahu apa yang akan berlaku dalam tempoh 10 tahun akan datang, walau cantik atau popular dan kaya... kita kena ingat adakah 10 tahun lagi kita sama macam sekarang.

“Kalau rasa muda dan energetik, kita tak tahu esok mungkin kemalangan dan sebagainya... jadi apa yang perlu kita lakukan dengan diri kita jika kita tak ada sijil akademik,” tegasnya yang pernah bertugas sebagai pegawai khas di Pejabat Perdana Menteri sehingga Disember 2022.

Malah dia kini aktif dalam politik sebagai Ketua Penerangan Puteri Umno Malaysia.

Lepasan SPM tidak melepaskan peluang mendapatkan maklumat institusi pengajian. -Foto The Star

Lepasan SPM tidak melepaskan peluang mendapatkan maklumat institusi pengajian.

Pameran anjuran Star Media Group yang berlangsung selama dua hari iaitu 4 dan 5 Mei ini turut dimeriahkan dengan tarian persembahan daripada pelajar Tahun Pertama Kolej Institut Jantung Negara (IJN).

Menurut salah seorang pelajar terlibat, Christy Bennedy, 19, dia dan pasukan memilih teknik cucian tangan yang betul serta kaedah bantuan kecemasan resusitasi kardio-pulmonari (CPR) sebagai kareografi persembahan.

“Cadangan persembahan diberikan pensyarah dan kami mengambil masa dua minggu untuk membuat latihan tarian.

“Kariografi ini adalah untuk mendedahkan tentang teknik melakukan cucian tangan serta bantuan pernafasan dengan betul,” jelasnya yang berasal dari Miri, Sarawak.

Christy Bennedy antara pelajar Kolej IJN yang membuat persembahan tarian.

Christy Bennedy antara pelajar Kolej IJN yang membuat persembahan tarian.

Untuk rekod, Pameran Pendidikan Star turut mengetengahkan pelbagai pilihan institusi pengajian tinggi dan bantuan kewangan seperti pinjaman pengajian serta biasiswa daripada 43 institusi.

Pempamer utama ialah gabungan empat universiti berkaitan kerajaan (GLU) yang terdiri daripada Universiti Teknologi Petronas (UTP), Universiti Multimedia (MMU), Universiti Tenaga Nasional (Uniten) dan Universiti Kuala Lumpur (UniKL).

Selain institusi tempatan, pameran itu menarik penyertaan institusi antarabangsa, iaitu Health Careers International Australia (MWT); Universiti Aeronautik Embry-Riddle, Singapura; Sekolah Perniagaan Antarabangsa Universiti Zhejiang, China; dan Universiti Teknologi Tenggara Ireland.

Antara pempamer di Pameran Pendidikan Star.

Antara institusi terlibat di Pameran Pendidikan Star.

Antara yang mencuri tumpuan di pameran itu ialah hadiah menarik untuk dimenangi dan peserta bertuah berpeluang memenangi Realme Pad (RMP2102), Buds T100, Watch 3 dan telefon pintar (C51) semasa sesi Daftar dan Menang.

Jangan ketinggalan, banyak aktiviti menarik yang berlangsung termasuk persembahan pelajar dan ceramah mengenai kejuruteraan terkini, khususnya dalam industri minyak, gas dan tenaga.

Pameran itu dibuka bermula pukul 11 pagi hingga 7 malam dan kemasukan adalah percuma.

Pameran Pendidikan Star merupakan salah satu acara pendidikan perintis negara yang menyediakan pelawat dengan program pendidikan yang terdiri daripada pra-universiti, diploma, sarjana muda dan pascasiswazah kepada kursus profesional dan vokasional dari pelbagai institusi tempatan mahupun antarabangsa.

Untuk butiran mengenai Pameran Pendidikan Bintang, layari facebook.com/stareducationfair atau e-mel [email protected].

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain