suria

Kerja makan gaji pun boleh nikmati kebebasan kewangan, pakar saran buat 2 langkah ini!

Kewangan kukuh akan menjamin kehidupan berkualiti. -Gambar hiasan

KEBEBASAN kewangan bermaksud tidak terbeban dengan hutang dan mampu berdiri sendiri untuk menampung kehidupan yang stabil.

Antara persoalan popular sering dilontarkan dalam topik ini, adakah seseorang itu perlu menjadi ahli perniagaan berjaya atau jutawan bagi mencapai tahap bebas kewangan?

Bagaimana pula jika seseorang itu hanya bekerja makan gaji?

Melalui satu perkongsian di laman TikTok oleh perancang kewangan, Dr Adam Zubir, ada diberikan kupasan mengenai hal ini.

"Jawapannya memang boleh. Walaupun bekerja dengan pendapatan gaji bulanan, kebebasan kewangan itu tidak mustahil.

"Cuma dia kena buat benda yang ramai orang tak suka," ujar Adam.

Perancangan kewangan memerlukan percaturan yang rapi. -Gambar hiasan

1) Jangan hidup macam raja

Perkara yang dimaksudkan di sini adalah seseorang itu perlu bijak untuk mengimbangi komitmen sesuai dengan kemampuan, bak kata pepatah ukur baju di badan sendiri.

"Saya bagi contoh, seorang lelaki ni dia nak kebebasan kewangan dalam masa lagi 15 tahun, tapi lepas tu dia memandai pergi ambil hutang kereta untuk sembilan tahun.

"Kereta ni pula akan ada kos tambahan iaitu penyelenggaraan, insurans dan sebagainya. Jadi dia tak dapat nak simpan duit untuk mencapai tahap bebas kewangan yang disasarkan.

"Kesimpulannya, susah nak ada kebebasan kewangan kalau tak pandai jaga komitmen," jelas Adam.

Pengurusan kewangan yang lemah akan makan diri sendiri. -Gambar hiasan

2) Sumber pendapatan tidak menentu

Menurut Adam, merupakan satu kesilapan besar untuk seseorang itu membayar komitmen menggunakan duit daripada sumber yang tidak menentu seperti pekerjaan bebas (freelance) dan komisyen.

"Ini adalah satu isu yang saya perasan, biasanya melibatkan orang bekerja dalam bidang sales. Sebab mereka dah terbiasa untuk mendapat komisyen yang 'masyuk', jadi kehidupan mereka pun mewah.

"Apabila mereka naik pangkat jadi manager contohnya, mereka akan mula gusar sebab sudah tiada lagi komisyen ni. Pendapatan secara tak langsung berkurang tapi gaya hidup yang bersenang-lenang kekal sama.

"Disebabkan kecuaian itu, tiada kebebasan kewangan untuk mereka kerana sentiasa terikat menampung kehidupan boros. Kalau mahu sampai tahap bebas kewangan, kena belajar ambil jalan susah," terang Adam.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain