PENGGUNAAN jubin dan mozek terus menjadi pilihan utama masyarakat kerana ia tampil dalam pelbagai corak dan rekaan kontemporari mengikut peredaran zaman. Tidak terkecuali Haznira Haz yang memilih lantai jubin berwarna putih untuk menghiasi kediamannya bersama keluarga. Bagaimanapun, sejak kebelakangan ini dia mendapati lantai rumahnya mempunyai kesan watermark walaupun dimop sehingga bersih dan berkilat. Buntu dengan situasi dialami, dia mendapatkan pandangan daripada ahli kumpulan Facebook berkaitan dekorasi rumah, Kami Suka Deko Deko. Ini beberapa petua dan teknik yang dikongsikan bagi mendapatkan hasil yang menarik. 1. Tanpa bahan pencuci Campurkan setengah baldi air panas bersama satu sudu besar cuka masak dan setengah penutup pelembut pakaian. Larutkan semua bahan sehingga sebati dan mop seluruh kawasan rumah yang berjubin. Kemudian lap lantai menggunakan kain tuala supaya cepat kering. Selain berkilat dan wangi, kesan watermark yang dialami juga akan hilang sepenuhnya. Masyarakat Jepun terkenal dengan budaya lap lantai rumah. -Foto Japan Up Close 2. Ikut amalan orang Jepun Ramai yang beranggapan lantai jubin mudah dijaga dan hanya perlu mop secara berkala. Namun hakikatnya, lantai jubin perlu dimop dan dikeringkan dengan betul bagi mengelakkan kesan melekit atau watermark kekal berlaku. Oleh itu, teknik masyarakat Jepun iaitu mengelap lantai menggunakan kain adalah paling sesuai diamalkan jika anda memilih jubin sebagai penghias kediaman. 3. Pastikan lantai dikeringkan selepas mop Kebiasaannya para ibu akan membiarkan lantai kering dengan sendirinya. Ia bukan sahaja menyebabkan kesan watermark malah kadangkala lantai akan melekit serta meninggalkan kesan tapak kaki. Bagi mengelakkannya, para ibu perlulah mengeringkan lantai yang dimop dengan menggunakan kain bersesuaian seperti tuala atau jenis microfiber. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube