MENUMPANG kereta kawan mungkin kelihatan seperti perkara biasa, tetapi tahukah anda bahawa ia boleh mengundang padah jika kita tidak betul-betul mengenali latar belakang pemilik kenderaan tersebut.
Seorang peguam dikenali sebagai Adi Zulkarnain berkongsi pengalaman mengendalikan kes 'tumpang kereta' yang dibicarakan di Mahkamah Tinggi Kuantan di Pahang sebagai peringatan bersama.
Kes serius ditahan kerana dadah
Dalam kes dikendalikan Adi, tiga individu yang menaiki sebuah kereta ditahan selepas pihak berkuasa menemui dadah jenis morfin seberat 29 gram.
Kesannya kepada pesalah adalah hukuman penjara dalam tempoh lama, penjara seumur hidup atau sebatan.
Peguam Adi berkongsi perkara itu menerusi video di media sosial.
Niat bersama (Tidak perlu pemilikan untuk dihukum)
Menjawab soalan diajukan di ruangan komen, sekiranya pemilik sebenar dadah tersebut mengaku bahawa barang itu miliknya, penumpang bagi kenderaan berkenaan tidak akan dibebaskan begitu sahaja.
Ini kerana mereka boleh dikenakan pertuduhan di bawah Seksyen 34 Kanun Keseksaan, iaitu atas 'niat bersama'.
Dalam erti kata lain, sesiapa yang berada dalam kenderaan yang mengandungi bahan terlarang boleh dianggap bersubahat dan turut menanggung akibatnya.
Jangan naik kereta kawan yang diragui
Kes ini menjadi peringatan agar lebih berhati-hati sebelum menumpang kenderaan sesiapa sahaja, terutama jika kita tidak benar-benar mengenali latar belakang mereka.
Mungkin niat kita hanya sekadar mahu menumpang, kita juga boleh terpalit dan berdepan tindakan undang-undang yang berat sekiranya terdapat bahan terlarang di dalam kenderaan itu.
"Jangan sesekali menumpang kenderaan kawan yang kita tidak yakin latar belakangnya, terutama jika mereka terlibat dengan aktiviti yang meragukan seperti penyalahgunaan dadah.
"Jika tidak, kita mungkin akan ‘belayar’ di penjara selama dua hingga tiga tahun, atau lebih lama lagi," tambahnya.
Oleh itu, sikap berhati-hati bukan sahaja penting untuk keselamatan diri tetapi juga untuk mengelakkan diri daripada terjerat dalam kesalahan jenayah tidak dilakukan.
Semoga kes dikongsikan peguam ini menjadi pengajaran supaya kita sentiasa bijak dalam memilih rakan serta keputusan yang diambil dalam kehidupan seharian.