BAGI ibu bapa yang baru menimang cahaya mata, pemilihan kereta sorong atau stroller sering menjadi satu keputusan yang sukar untuk dilakukan.
Dengan pelbagai jenama dan model di pasaran, ramai cenderung memilih berdasarkan faktor estetik semata-mata.
Justeru, penting untuk memahami keperluan sebenar seperti aspek fungsi dan keselamatan sebelum membuat pembelian.
Sebelum ini, seorang ibu dikenali sebagai Zetty pernah berkongsi tip pemilihan stroller yang boleh dipertimbangkan golongan ibu bapa.
1. Tentukan keperluan penggunaan
Sebelum membeli stroller, fikirkan bagaimana dan di mana ia akan digunakan.
Adakah untuk aktiviti lasak seperti berjoging dan berjalan di kawasan berbatu atau hanya untuk kegunaan dalam pusat membeli-belah?
Setiap jenis stroller mempunyai kelebihan tersendiri, jadi pastikan ia selari dengan gaya hidup anda.
2. Pilih roda yang sesuai
Roda memainkan peranan penting dalam kestabilan dan keselesaan pergerakan stroller.
Stroller dengan roda getah lebih sesuai untuk permukaan tidak rata seperti jalan bertar, rumput dan pasir kerana cengkaman yang lebih baik.
Sebaliknya, roda plastik kurang berdaya tahan dan mungkin menyukarkan pergerakan di permukaan yang kasar.
Suspensi pada bahagian depan dan belakang stroller penting untuk keselesaan anak.
3. Pastikan sistem suspensi berfungsi dengan baik
Suspensi (suspension) yang baik membantu menyerap hentakan ketika stroller bergerak di atas permukaan yang tidak rata.
Jika stroller tidak dilengkapi dengan sistem suspensi yang mencukupi, anak anda mungkin berasa kurang selesa kerana gegaran yang kuat, terutamanya di bahagian kepala.
4. Kestabilan VS berat stroller
Ramai ibu bapa lebih gemar stroller yang ringan kerana lebih mudah dibawa dan disimpan.
Namun, stroller yang terlalu ringan boleh menyebabkan ketidakstabilan, terutamanya jika anak terlalu aktif.
Oleh itu, pilih stroller yang mempunyai keseimbangan antara ringan dan kukuh untuk keselamatan optimum.
5. Periksa bahan penyambung (joint) stroller
Bahagian penyambung stroller memainkan peranan penting dalam ketahanan dan daya tahan produk.
Stroller dengan penyambung aluminium lebih tahan lama berbanding yang diperbuat daripada plastik.
Jika anda merancang untuk menggunakan stroller dalam jangka masa panjang atau untuk beberapa generasi anak, bahan aluminium adalah pilihan lebih baik.
6. Utamakan keselamatan anak
Sama ada stroller mahal atau murah, pastikan anak anda sentiasa dipasang dengan sistem ‘buckle up’ (tali pinggang keselamatan) yang kukuh.
Ini bagi mengelakkan sebarang risiko terjatuh atau kecederaan yang boleh membahayakan nyawa si kecil.