suria

“Dulu beli sorok-sorok sebab ibu marah kumpul benda ‘merepek’ ni”

Adzren bersama sebahagian koleksi kerongsang dan dokoh kesayangannya.

LELAKI dan kerongsang... Agak pelik didengar! Bertambah janggal apabila mendapat tahu minat mengumpul koleksi yang cukup sinonim dengan kaum wanita itu adalah si teruna.

Namun percaya atau tidak, Adzren Adnan mempunyai lebih 200 koleksi kerongsang serta dokoh dalam simpanannya dan angka itu terus bertambah setiap bulan.

Mula mengumpul sejak beberapa tahun lalu, Adzren memberitahu minatnya itu pernah ditentang oleh ibunya, Roslina Mohd Nasir yang menganggap ia satu pembaziran.

"Mula-mula ibu tak sokong, dia kata kenapa nak kumpul benda-benda merepek macam ni, membazir sahaja. Masa itu saya tak peduli sebab memang minat kerongsang dan dokoh ini.

"Saya pernah kena marah teruk dengan ibu kerana beli barang-barang ini sampaikan terpaksa beli sorok-sorok dan simpan dalam kotak baju.

Ini cuma sebahagian koleksi kerongsang dan dokoh yang disimpan di rumah sewanya.

"Tapi lama-kelamaan apabila ibu nampak kegunaan barang-barang ini baru dia faham dan terima minat saya ini," katanya kepada mStar Online.

Sementara itu, pengacara kebudayaan dan jurulatih pantun ini berkata ibunya kini sudah boleh menerima minatnya itu setelah melihat fungsi dan kegunaan dokoh.

Malah, ibunya turut membelikan almari khas untuk menyimpan barangan tersebut kerana tidak mahu ia rosak dan hilang.

"Sekarang ini ibu dah OK, dia terima minat saya sebab dia tahu apa sebab saya beli. Kerongsang dan dokoh ini dijadikan aksesori untuk pekerjaan saya sebagai pengacara kebudayaan dan jurulatih pantun.

"Jadi ia bukanlah satu pembaziran kerana barang-barang ini berguna. Lagi pula, kerongsang dan dokoh ini merupakan sebahagian warisan kita.

"Lebih melucukan, ibu belikan satu almari khas untuk menyimpan barangan tersebut kerana tidak mahu ia rosak dan hilang. Sebenarnya, saya ada banyak lagi koleksi tapi sudah hilang dan rosak," katanya.

Adzren memiliki lebih banyak koleksi di rumah ibunya di Melaka.

Selain kerongsang dan dokoh, jejaka berusia 27 tahun ini juga mempunyai puluhan koleksi tanjak dan busana tradisional Melayu yang dibeli dengan harga mencecah RM800 satu set.

Mengakui minat terlalu mendalam terhadap barangan warisan ini, dia yang juga ejen insurans memperuntukkan perbelanjaan sebanyak RM3,000 setahun semata-mata untuk menambah koleksi tersebut.

"Saya beli tak kira harga, kalau nampak cantik dan kena di mata saya beli sahaja. Kalau lelaki lain minat alat memancing atau bola, saya minat koleksi ini!

"Ada juga yang nak pinjam dan sewa set barangan ini tapi saya tak beri kerana takut rosak dan hilang. Barang-barang ini semua ada nilai dan kenangan tersendiri untuk saya.

"Impian saya selepas memiliki rumah sendiri nanti, saya mahu jadikan satu bilik khas sebagai tempat simpanan koleksi-koleksi saya ini," katanya.

Kerongsang, Dokoh, tanjak

Artikel Lain