suria

“Doraemon macam saya, ceria dan banyak cakap!” Syasya dianggap pelik kumpul patung animasi popular Jepun

Syasya meminati rancangan Doreamon dan pengumpul koleksi patung itu.

JIKA orang lain lebih berminat mengumpul koleksi kasut, beg tangan atau alat mekap, berbeza pula gadis tinggi lampai kelahiran ibu kota ini.

Noorsyasya Afiqah Shahrizal ‘jatuh cinta’ buat kali pertama dengan robot kucing Doraemon yang comel sejak berusia 12 tahun.

“Saya masih ingat pertama kali menonton drama Doraemon di televisyen dan dapat rasa Doraemon ni macam saya, ceria dan banyak cakap.

“Lagi pun watak Doraemon ni suka menolong orang terutamanya, tuannya Nobi Nobita. Tambahan pula bentuk rupanya yang gemuk, comel buat saya lebih suka,” ujar Noorsyasya atau lebih mesra dipanggil Syasya berusia 18 tahun.

Antara koleksi yang paling disayangi Syasya.

Menurut anak kedua daripada lima orang adik beradik ini, kawan-kawannya yang mengejek gara-gara dia sukakan Doraemon.

“Keluarga dan kawan-kawan saya memang tahu hobi saya mengumpul segala jenis koleksi Doraemon ini.

“Ada juga yang mengusik, kata saya pelik kerana hobi ini tetapi saya tak kisah pun. Lagipun saya tak kacau orang lain.

“Keluarga saya memang faham dengan hobi saya ini ada juga mereka hadiahkan koleksi terbaharu Doraemon. Malah kadang-kala saya paksa mereka pakai baju Doraemon sama dengan saya.

“Antara yang paling saya sayang lima koleksi yang saya dapat daripada mesin ‘claw’. Pertama kali cuba main terus dapat.

“Bagi saya hobi mengumpul Doraemon ini tidak memerlukan kos yang besar. Pandai cari mesti dapat harga yang berpatutan,” ujarnya tersenyum.

Dua patung gemuk Doraemon menjadi peneman ketika masa terluang Syasya.

Jelas Syasya yang baharu memulakan pengajian dalam bidang perubatan di sebuah universiti swasta ini, dia merancang akan melawat negara kelahiran Doraemon satu hari nanti.

“Sepatutnya saya bersama keluarga akan ke Jepun bulan ini (Mac), namun terpaksa ditunda memandangkan saya dah mula pengajian.

“Mungkin satu hari nanti saya akan pergi melawat Muzium Fujiko F.Fujio di Kawasaki,” katanya.


Tambah Syasya, jadual harian yang penuh dengan kuliah tidak menghalangnya untuk menonton rancangan kegemarannya itu.

“Sampai sekarang saya tidak pernah terlepas untuk menonton Doraemon. Saya biasanya selalu tengok secara online selain membaca komik jika ada masa lapang.

“Boleh hilangkan penat otak selepas belajar,” katanya yang turut mempunyai koleksi langsir, fail, cadar, bantal, baju dan sebagainya.

Doraemon

Artikel Lain