suria

Kajian: Kucing sebenarnya tahu namanya, cuma kadang-kadang pilih buat 'dek' apabila dipanggil

Kajian menunjukkan kucing yang dipelihara tahu nama yang diberikan untuk dirinya. -fotoTHESTAR

MEREKA yang hobinya memelihara kucing pasti mempunyai nama panggilan untuk haiwan itu.

Tapi, tahukah anda walaupun kucing sering bersikap tidak acuh atau buat 'dek' terhadap nama panggilannya, haiwan ini sebenarnya cukup pintar untuk mengenali nama yang diberikan untuknya.

Perkara ini dinyatakan oleh Atsuko Saito dan pasukannya dari Sophia University, Tokyo.

Saito dan pasukannya telah membuat kajian untuk menguji kemampuan sejumlah kucing dalam memahami nama yang manusia gunakan untuk memanggil mereka.

Hasil kajian ini telah diterbitkan dalam jurnal Scientific Reports. Dalam kajian tersebut, Saito dan pasukannya mengkaji reaksi setiap kucing ketika mendengar nama panggilannya.

Mereka kemudian membandingkan reaksi kucing ketika dipanggil dengan perkataan yang memiliki panjang suku kata yang sama.

Selain itu pasukan peneliti itu juga meneliti reaksi kucing ketika dipanggil dengan nama panggilan kucing lain.

Mereka mendapati bahawa sebahagian besar kucing menunjukkan kepintaran untuk memahami nama panggilannya.

Mereka akan menggerakkan telinga dan kepala dengan lebih kuat ketika nama mereka disebut.

Pasukan pengkaji berkata, kucing-kucing ini mungkin dilihat tidak menggerakkan ekor atau mengeluarkan respons suara ketika nama mereka dipanggil.

Tetapi mereka sebenarnya mendengar panggilan tersebut kerana ia dapat dilihat dari respons di telinga dan kepala mereka.

Menurut pengkaji, memetik IFLScience, kajian ini mengungkap hal baharu mengenai komunikasi manusia dengan haiwan ini yang menjadi teman kepada ramai manusia.

Namun masih banyak yang belum diketahui tentang komunikasi antara kucing dan manusia.

Kajian ini juga menyatakan bahawa kucing cukup sensitif dengan emosi pemiliknya. Selain itu, kucing mempunyai kemampuan membezakan suara orang yang memeliharanya dengan orang asing.

Kesimpulan utama dari kajian ini adalah, kucing-kucing peliharaan sebenarnya mendengar dan faham ketika kita memanggil nama mereka.

Mungkin ada masanya, mereka memilih untuk buat 'dek' sahaja. 'They are hearing, but not listening.' -MetroUK

kucing, hobi, haiwan, nama

Artikel Lain