suria

Nampak berkarat, tapi Kodok bukan kereta VW antik sembarangan!

Sebanyak 103 kereta VW dipamerkan pada acara Lowlife Republik di Subang Jaya.

REKAAN kereta antik mempunyai keistimewaannya yang tersendiri kerana selain memiliki nilai estetik, ia juga dapat mengembalikan nostalgia.

Baru-baru ini, penggemar kereta antik berpeluang melihat dengan lebih dekat kreativiti pemilik kenderaan jenama Volkswagen (VW) memodifikasi mobil masing-masing untuk dipamerkan pada acara Lowlife Republic.

Kereta VW milik seorang peniaga kedai hardware, Mohamad Shairi Rosli, antara yang mencuri tumpuan pada acara tersebut.

Sekilas pandang kenderaan tersebut nampak seperti besi lama yang sudah berkarat.


Mohamad Shairi (kiri) dan rakan-rakannya berdiri di samping kereta VW miliknya.

Namun, pemuda yang berasal dari Sabak Bernam, Selangor itu sebenarnya mengambil masa selama dua tahun untuk mendapatkan imej tersebut.

"Nak bagi kereta ni nampak berkarat pun ambil masa setahun ke dua tahun.

"Saya buat sendiri gunakan bahan-bahan yang ada selepas mendapat idea daripada Facebook dan YouTube," kata pemuda berusia 28 tahun itu kepada mStar.

Mohamad Shairi menggosok kereta yang dinamakan sebagai Kodok itu dengan menggunakan kertas pasir terlebih dahulu untuk menghilangkan cat lama sebelum menyapu pencair dan menyimbahnya dengan air garam.

Inilah hasil kereta Mohamad Shairi yang sengaja dikaratkan.

Kemudian, pemuda tersebut menggosok permukaan kereta dengan kertas pasir sekali lagi untuk melicinkannya.

Seterusnya, dia 'menembak' cat kosong ke atas kereta VW keluaran 1964 itu sebagai penyudah (finishing).

Kata Mohamad Shairi, kos keseluruhan ubah suai kereta tersebut dianggarkan bernilai RM15,000.

Dia menganggarkan harga pasaran kenderaan miliknya itu antara RM20,000 dan RM35,000 sekiranya ada pihak yang berminat untuk membelinya.

Sementara itu, ahli jawatankuasa Lowlife VW Malaya, Ziad Zawawi berkata, seramai 103 pemilik VW model lama mempamerkan kereta masing-masing pada acara tersebut yang dianjurkan di tempat letak kereta bertingkat SS15, Subang Jaya pada 21 April lalu.

Acara yang julung kali diadakan itu menumpukan kepada kereta-kereta VW jenis rendah sahaja.

Bila kereta rendah, kereta akan kurang bergoyang dan lebih aerodinamik tanpa perlu memotong suspensi atau penyerap hentakan (absorber).

ZIAD ZAWAWI

Kesemua kenderaan yang menyertai acara itu terdiri daripada kereta jenis enjin aircool (enjin di belakang) dan tidak mempunyai radiator.

Antara jenis-jenis kereta tersebut adalah Beetle Type 1 model awal dan akhir, VW Bus, Buggy dan Karmann Ghia.

Katanya, acara itu diadakan bertujuan menyediakan platform kepada pemilik VW untuk berkongsi pengetahuan tentang kaedah merendahkan kereta dengan cara yang selamat.

Ziad duduk di atas kereta VW kesayangannya.

"Bila kereta rendah, ia akan kurang bergoyang dan lebih aerodinamik tanpa perlu memotong suspensi atau penyerap hentakan (absorber).

"Kita cipta satu alat yang dipanggil drop spindle untuk merendahkan penyerap hentakan itu dan ia adalah selamat serta dilesenkan oleh VW Jerman," jelasnya yang turut mempamerkan keretanya yang merupakan keluaran 1964 dan jenis tingkap kecil.

Tambahnya, usia kereta paling lama yang menyertai acara tersebut adalah keluaran 1952 iaitu jenis VW Type 1.

Peserta yang mengambil bahagian datang dari seluruh Malaysia kecuali Sabah dan Sarawak.

Volkswagen

Artikel Lain