suria

Kemelut Huawei: Apa nasib pengguna sedia ada dan model akan datang?

Pengguna Huawei selepas ini berkemungkinan besar tidak mempunyai akses terhadap perkhidmatan Google seperti Play Store, Gmail dan Youtube. -foto Karlis Dambrans/Shutterstock

KEMELUT yang melanda syarikat teknologi Huawei secara langsung memberi tamparan hebat buat penggunanya di seluruh dunia.

Ia susulan langkah kerajaan Amerika Syarikat (AS) yang menetapkan syarikat-syarikat negaranya menghentikan talian perniagaan dengan syarikat dari China itu.

Malah, tindakan Google yang menarik lesen Android yang dimiliki Huawei menyebabkan syarikat itu terpaksa menggunakan Android Open Source Project (AOSP).

ARTIKEL BERKAITAN: Google sekat telefon Huawei guna aplikasi seperti Maps dan Gmail

Besar kemungkinan, pengguna Huawei selepas ini mungkin tidak mempunyai akses terhadap perkhidmatan Google seperti Play Store, Gmail dan Youtube.

Segalanya bermula apabila presiden AS, Donald Trump mendakwa peranti keluaran Huawei berkemungkinan digunakan oleh China untuk tujuan risikan.

Apa akan jadi sekiranya anda merupakan pengguna Huawei?

Sekiranya anda memiliki peranti Huawei, anda sebenarnya tidak perlu risau kerana masih lagi boleh menggunakan Play Store, Gmail dan Youtube seperti biasa.

Namun, ia dijangka memberi masalah kepada peranti Huawei yang akan datang sahaja.

Kemelut terbaharu itu merisaukan pengguna jenama Huawei. FOTO: Daily Express.

Adakah peranti Huawei akan terus menggunakan Android?

Kesan penarikan itu memberi kesan di peringkat global namun ia bukanlah masalah besar di negara China.

Ini kerana mereka menggunakan enjian carian Baidu, yang mana ia lebih kurang sahaja dengan Google.

Malah, Huawei juga dikatakan sedang membangunkan sistem operasi sendiri sejak tujuh tahun lalu dan ia dikenali sebagai Plan B.

Menerusi kenyataan terbaharu kepada TechRadar, Huawei berkata, mereka akan berterusan membina ekosistem perisian yang selamat untuk pengguna mereka.

Malah, jika sekatan Google ke atas Huawei berterusan, Huawei juga perlu meyakinkan pembangun teknologi untuk mencipta aplikasi yang menyokong sistem operasi baharu mereka.

Setakat ini, pelan untuk melancarkan model Honor 20 juga dijangka berjalan seperti dirancang dan dikatakan masih disokong oleh ekosistem Android. - TechRadar.

Huawei, Android, Google, kemelut, Donald Trump

Artikel Lain