suria

Rela tinggalkan kerjaya 'bersih', kini mahu terus bergelumang dengan cat dan kanvas

Fai Zakaria bersama beberapa lukisannya yang dipamerkan di Artscape MY Cyberjaya baru-baru ini.

KELIBAT seorang wanita kecil molek berkebaya nyonya lengkap dengan sejambak mawar putih yang diselit pada ikatan rambutnya mencuri perhatian ketika menghadiri pertunjukan seni lukis Artscape My yang diadakan di Cyberjaya baru-baru ini.

Wajahnya yang sentiasa melemparkan senyuman membuatkan ramai senang dengan kehadirannya, malah penulis sendiri tertanya-tanya siapakah wanita di sebalik kebaya itu.

Figura ini mungkin kurang dikenali umum namun penggemar seni lukis pasti kenal dengan Ayu Fairuza Zakaria atau Fai Zakaria seorang pelukis berbakat besar yang hingga kini telah mencatat 12 tahun pengalaman dalam bidangnya.

ARTIKEL BERKAITAN: Mesej sosial dalam lukisan ceria, tapi ada makna... 'Life is Wonderful' bukan biasa-biasa!

Fai Zakaria bukan calang-calang, malah wanita berusia 42 tahun ini pernah mengadakan tiga pameran lukisan solo di Hong Kong, Vienna serta Kuala Lumpur tahun lalu, selain 50 pameran berkumpulan sepanjang kariernya.

Antara karya daripada Fai Zakaria.

"Jujur saya cakap masa pameran lukisan ketiga tahun lalu, tiada satu pun hasil kerja saya yang terjual tetapi saya selalu beritahu diri... tidak mengapa kerana Insya-Allah pasti akan ada rezeki lain menanti.

"Alhamdulillah, pegangan saya itu tidak pernah meleset kerana pasti akan ada rezeki lain yang Allah beri... ada di antaranya saya sendiri tidak jangka, malah berada di sini dan bercakap dengan awak (penulis) juga satu rezeki," katanya memulakan perbualan ketika ditemui mStar.

Bagaimanapun kata Fai, sejak menceburi bidang seni lukis pada 2007, dia tidak pernah menghasilkan karya dengan harapan dapat mengaut keuntungan daripada pembeli.

Sebaliknya kata anak jati Melaka ini, menerusi lukisan dia dapat meluahkan perkara yang tidak dapat dizahirkan menerusi kata-kata atau perbuatan dan ia adalah bonus sekiranya karyanya mendapat perhatian.

"Pandangan mengatakan menjadi seorang pelukis tidak boleh cari makan hampir betul dan atas sebab itu ramai pelukis berbakat besar tidak dapat bertahan kerana perlu meneruskan kelangsungan hidup.

Fai menjadikan jantung sebagai subjek utama dalam lukisannya.

"Saya sendiri tidak pernah meletakkan harapan akan ada orang beli karya saya tetapi akhirnya saya masih di sini kerana percaya rezeki itu ditangan Allah selagi kita berusaha dan tawakal," ujarnya.

Tinggalkan karier pereka hiasan dalaman

Bercakap mengenai dirinya, Fai berkata, sebelum ini dia mempunyai kerjaya tetap sebagai pereka hiasan dalaman selain pernah berkhidmat dengan syarikat bertaraf antarabangsa.

Kerjaya dan kehidupan yang stabil bagaimanapun tidak cukup baik buat Fai kerana merasakan ada sesuatu yang 'kosong' dalam dirinya membuatkan dia nekad meninggalkan kerjanya sebagai pereka hiasan dalaman.

"Ketika bekerja di Jakarta selama setahun saya banyak menghadiri pertunjukan seni serta pameran lukisan dan sejak itu minat itu mula timbul.

"Kali terakhir saya melukis barangkali ketika saya darjah enam, namun apabila pulang ke Malaysia saya cuba melukis dan sejak itu saya jumpa arah tuju yang ingin saya lakukan," ujarnya yang menggemari lukisan berbentuk abstrak.

Fai tidak menafikan bukan mudah bergelar seorang pelukis.

Namun kata Fai, pekerjaannya sebelum ini banyak membantu dirinya menjadi pelukis lebih baik walaupun ramai memberitahu karyanya terlalu bersih dan dirancang.

"Bergelar pereka hiasan dalaman memang hasil kerja kena bersih apabila melukis pelan dan semuanya perlu dirancang terlebih dahulu tapi nampaknya sikap itu terbawa-bawa ke hari ini.

"Malah itu adalah perkara yang orang akan perasan tentang lukisan saya tapi tidak mengapa kerana itu adalah trademark dan identiti saya sebagai seorang pelukis," jelasnya.

Jantung dan Kembara 60 Hari di Eropah

Walaupun menggemari lukisan abstrak, Fai berkata, dia kini mula mengubah haluannya apabila memilih subjek lebih dekat dengan manusia seperti jantung.

Fai memilih jantung sebagai subjek utama dalam karyanya kerana merasakan semua orang boleh memahaminya, selain ia mempunyai kisah tersendiri untuk setiap orang mengenai perkara yang tidak boleh diluahkan.

Fai bersama karyanya pada pameran solo ketiganya tahun lalu.

Katanya, dia juga gemar bermain dengan warna, tekstur dengan sentuhan peribadinya dalam menjadikan sesuatu karya itu tersendiri dan ikhlas.

"Kebiasaannya sesuatu lukisan dan jalan cerita 'jantung' itu bergantung kepada perasaan saya ketika itu yang cuba saya luahkan dalam lukisan kerana banyak benda kita tidak boleh luahkan dengan kata-kata," katanya.

Tidak cukup itu, Fai juga pernah melancarkan enam buku dan terbaharu Kembara Seorang Pelukis - Lakaran & Nota 60 Hari di Eropah dan itu bukan pengakhiran daripadanya.

"Saya akan terus buat apa saya percaya dan bukannya apa orang mahu kerana itulah yang meletakkan saya di sini hari ini," katanya mengakhiri perbualan.

Fai Zakaria

Artikel Lain