suria

Lemang periuk kera memang rare, tapi apa ertinya jika ia memudaratkan bumi! - Pakar botani

Lemang periuk kera semakin popular terutamanya menjelang Aidilfitri.

SEJAK beberapa tahun kebelakangan ini, lemang periuk kera semakin popular dan mendapat permintaan tinggi daripada pelanggan sebagai menu istimewa di pagi Syawal.

Lemang yang dimasak dalam kelongsong periuk kera dikatakan lebih enak berbanding lemang buluh dan ketupat menggunakan daun palas.

Ia semakin popular terutamanya di negeri selatan tanah air seperti Johor dan juga Pahang apabila permintaan daripada pelanggan dianggap luar biasa.

ARTIKEL BERKAITAN: Selepas sebulan berpuasa... jom tinjau carta 10 juadah paling popular di hari raya!

Bagi memenuhi permintaan itu, terdapat sebuah kumpulan yang memperkenalkan diri mereka sebagai Pencari Periuk Kera di Segamat giat masuk ke hutan bagi mencari 140,000 kelongsong periuk kera.

Abdul Latiff melahirkan rasa kesal di Facebook.

Bagaimanapun di sebalik kemeriahan golongan itu galak mengutip periuk kera, situasi itu juga sebenarnya membuatkan ramai berasa bimbang terutama dalam kalangan pakar bidang botani dengan aktiviti tidak terkawal itu.

Felo penyelidik dan pensyarah dalam bidang Botani & Pemuliharaan Biologi di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Emeritus Datuk Dr. Abdul Latiff Mohamad melahirkan kebimbangan terhadap aktiviti menuai periuk kera secara berleluasa ini.

Abdul Latiff berkata, jika aktiviti itu tidak dihentikan, dikhuatiri spesies periuk kera seperti Nepenthes Mirabilis akan pupus seperti mana berlaku kepada Nepenthes Ampullaria di hutan negeri Pahang.

"Beberapa tahun lalu periuk kera jenis Nepenthes Mirabilis hampir pupus di Pahang dan kini ia berlarutan di Johor pula.

Lemang Periuk Kera dikatakan lebih enak kerana aromanya.

"Apa sudah jadi dengan mentaliti masyarakat kita yang kurang peka terhadap pemuliharaan khazanah alam kita. Saya juga berharap kesemua 13 spesies periuk kera yang ada diletakkan dalam spesies yang dipelihara dan dipulihara," ujarnya.

Untuk rekod kesemua 13 spesies tersebut ada  di antaranya disenaraikan sebagai spesies terancam oleh International Union for Conservation of Nature (IUCN).

Sementara itu, bagi Faziatun Nisa Yusof Basha, dia melihat adalah penting untuk memelihara periuk kera daripada pupus kerana ia mempunyai fungsi dalam ekosistem di dalam hutan.

Katanya, fungsi pokok kera sebenarnya bukan sekadar menangkap serangga masuk ke dalam kantung namun di sebalik itu ia sebenarnya membekalkan nitrogen bagi mengekalkan kesuburan tanah.

Pandangan yang dikongsi Faziatun di Facebook. 

"Fungsi pokok kera ini kita nampak macam setakat nak tangkap serangga masuk dalam kantung saja tetapi di sebalik mekanisme itu, Tuhan ciptakan pokok ini berada di kawasan yang mengandungi nutrien Nitrogen yang rendah.

"Nitrogen daripada pereputan serangga itu pula fungsinya membekalkan kesuburan pada tanah," katanya yang berpengalaman dalam bidang botani dan biologi.

Faziatun meminta masyarakat memilih untuk menyelamatkan alam sekitar kerana lemang masih boleh dinikmati yang dimasak menggunakan daun pisang dan buluh.

"Lemang periuk kera memang 'rare' tapi apalah ertinya jika ia berupaya mendatangkan kemudaratan pada bumi yang kita kongsi ini," katanya.

Lemang Periuk Kera

Artikel Lain