KURANG dari seminggu sebelum kita menyambut Syawal... sekarang adalah masa paling sesuai untuk mendengar lagu-lagu raya bagi menaikkan 'mood'.
Banyak sebenarnya lagu-lagu bertemakan Aidilfitri dihasilkan namun kebanyakan daripada kita lebih gemar mendengar karya-karya lama yang mengimbau memori zaman kanak-kanak.
Apa lagu kegemaran anda? mStar menyenaraikan 10 karya 'evergreen' terbaik yang sentiasa menjadi pilihan pendengar.
1. Sudirman - Balik Kampung
Balik Kampung adalah lagu wajib untuk dipasang ketika perjalanan pulang ke kampung halaman dan bertambah semangat apabila semua yang ada dalam kereta turut menyanyi bersama.
2. Tan Sri P. Ramlee - Dendang Perantau
Lagu ciptaan Allahyarham Tan Sri P. Ramlee dan Syed Sudarmaji ini kekal malar segar walaupun ia dihasilkan sekitar era 1950-an.
Bait-bait lirik dan melodinya sudah cukup buat sesiapa sahaja ingin segera mengemas beg dan pulang berhari raya bersama keluarga tercinta.
3. Saloma - Selamat Hari Raya
Selamat Hari Raya bukan sahaja popular dalam kalangan masyarakat Melayu malah turut digemari oleh kaum Cina dan India.
Ia sudah menjadi lagu 'anthem' buat seluruh rakyat Malaysia setiap kali tibanya Syawal.
4. Aishah - Pulanglah
Melodinya yang syahdu membuatkan hati yang mendengar mudah terkesan apatah lagi terkenangkan kekasih lama. Chewah!
5. Anuar Zain dan Elina - Suasana Hari Raya
Setiap kali mendengarkan Suasana Hari Raya pasti ramai daripada kita yang terkenangkan memori indah ketika menyambut Syawal ketika kecil.
6. Sudirman - Dari Jauh Ku Pohon Maaf
Lagu klasik yang dirakamkan pada 1981 ini antara yang mengusik jiwa sesiapa sahaja mendengarnya dan ia kekal malar segar hingga ke hari ini.
7. Rafeah Buang - Bila Takbir Bergema
Lagu ciptaan Kassim Masdor ini sangat ringkas tetapi mengasyikkan membuatkan ia cukup sinonim setiap kali tibanya syawal.
8. Datuk M. Nasir - Satu Hari Di Hari Raya
Magik sentuhan daripada M. Nasir tidak pernah mengecewakan termasuklah apabila beliau menghasilkan lagu hari raya!
9. Sanisah Huri - Bersabarlah Sayang
Ramai tidak mengenali penyanyinya terutama dalam kalangan anak muda tetapi tidak Bersabarlah Sayang.
10. Datuk Seri Siti Nurhaliza - Nazam Lebaran
Nazam Lebaran boleh disifatkan sebagai lagu bertemakan raya moden tetapi bakal menjadi malar segar pada tahun-tahun mendatang.