suria

Hias rumah... tiada yang betul atau salah, semuanya berbalik kepada citarasa masing-masing

Ruang tamu dan ruang makan yang mempunyai karakter tersendiri. Foto Ihsan AUGUSTINA EARLY

SAAT melangkah ke kediaman jenis apartment ini sudah cukup untuk menceritakan karakter pemiliknya yang berani dan tersendiri.

Tidak mengikut trend tertentu, pemiliknya Augustina Early Hary Iskandar, 39, menggabungkan pelbagai konsep dan tema namun ia masih tampak senada.

ARTIKEL BERKAITAN: Bosan dengan ruang minimalis? Tiru 5 langkah ini untuk hasilkan dekorasi maksimalis

ARTIKEL BERKAITAN: Sesak nafas dalam rumah sendiri? Tanam sahaja 5 tumbuhan ini untuk hirup udara bersih


Gabungan beberapa gaya dan warna tidak membuatkan ruang tamu nampak sesak jika bijak disuai padankan.

Perhatian apabila melangkah masuk sudah tentu tertumpu kepada ruang makan apabila Augustina menggabungkan dinding berwarna putih dengan rona kuning bagi mencipta karakter tersendiri pada ruang kecil itu.

Tumpuan juga tertumpu kepada ruang dinding bertentangan dengan tempat makan apabila dia menggantung empat gitar koleksi suaminya sekaligus mengalihkan perhatian daripada sofisikated kepada ranggi.

"Jujurnya saya tiada idea tertentu dalam menghias kediaman, sebaliknya apa yang anda lihat ini adalah hasil kreativiti sendiri selain banyak membuat rujukan daripada hiasan dalaman di internet atau pun laman sosial dekorasi.

Kreatif... Koleksi gitar suami dijadikan sebagai perhiasan dinding pada ruang masuk kediaman.

"Apa yang saya lihat cantik dan praktikal saya cuba terapkan dalam hiasan dalaman rumah saya bersesuaian dengan konsep serta perabot sedia ada," kata surirumah ini memulakan bicara.

Dan sudah tentu ruang tamu adalah perhatian utama Augustina memandangkan ia tempat paling digemari mereka sekeluarga.

Katanya, memandangkan kediamannya hanya berkeluasan 850 kaki persegi dia perlu bijak memilih perabot untuk ruang itu memandangkan dia mempunyai dua anak lelaki yang masih kecil dan lasak.

Ruang dapur dihias ringkas.

"Sofa berbentuk L sangat sesuai kerana ia menjimatkan ruang selain saya menggunakan kertas dinding yang memaparkan pemandangan di sebuah lorong bagi memberi impak lebih besar.

"Ruang ini juga saya letakkan meja bekerja serta troli yang dibeli di Ikea untuk meletakkan makanan ringan untuk suami dan anak-anak mengunyah ketika menonton televisyen," katanya.

Bagi menambah karakter pada ruang itu, Augustina memberitahu dia menggunakan karpet bercorak, selain bantal kecil pelbagai warna sebagai hiasan di sofa.

Tema angkasa lepas untuk dua anak lelaki Augustina. 

Buat sendiri aksesori rumah

Menariknya, Augustina memberitahu minatnya terhadap hiasan dalaman membuatkan dia membuat sendiri aksesori dalam rumahnya dalam mencipta identiti tersendiri kepada hiasan dalamannya.

"Banyak benda yang saya buat sendiri seperti tempat letak kunci, decor letters dan sebagainya... Apabila dapat idea daripada internet saya cuba buat mengikut citarasa sendiri.

"Kebanyakan perabot dan perkakas dalam rumah saya pun bukanlah berjenama tetapi saya suka upgrade dengan menambah aksesori serta buat suai padan," jelasnya.

Augustina bersama suami, Azman Ahmad dan dua anak mereka Azrell dan Aydean.

Konsep angkasa untuk anak-anak

Mempunyai dua anak lelaki iaitu Azrell Adriansyah Azman, 9 dan Aydean Ardiansyah Azman, 8 tahun memberi idea kepada Augustina untuk tampil dengan konsep angkasa lepas untuk bilik anak-anaknya.

Penggunaan warna biru berserta ilustrasi angkasa lepas lengkap dengan kesemua planet pada dinding memperlihatkan sifat maskulin.

Bagi menjimatkan ruang, Augustina menggunakan katil bertingkat untuk anak kesayangannya dan menambah warna pada bantal dan aksesori bagi menaikkan warna biru yang dijadikan asas.

Kamar tidur yang cukup damai dan romantis buat pasangan suami-isteri ini.

Tidak melupakan kamar tidurnya bersama suami, Azman Ahmad, 38, Augustina memilih konsep tropika bagi mewujudkan suasana romantis.

Penggunaan warna hijau pada dinding dipadankan dengan tumbuh-tumbuhan hijau sebagai aksesori selain menggunakan warna putih pada cadar bagi mengimbangi rona itu yang melatari kamar beradunya bersama suami.

"Pada saya dalam menghias rumah tiada yang betul atau salah kerana semuanya berbalik kepada citarasa masing-masing.

"Cuma kita kena bijak memilih apa yang sesuai untuk dipadankan dengan perabot atau konsep sedia ada," ujarnya.

Dekorasi, Apartment, Hiasan Dalaman

Artikel Lain