suria

Indahkan kediaman dengan 5 idea gaya bohemian

Konsep bohemian meraikan tekstur, warna yang tidak terikat dengan sebarang peraturan hiasan tertentu.

HIASAN dalaman gaya bohemian semakin mendapat tempat dalam kalangan penggemar dekorasi kerana konsepnya yang meraikan warna, tekstur termasuk unsur-unsur segar dari alam.

Mula diperkenalkan pada abad ke-19 di Perancis, bohemian atau 'boho' biasanya dikaitkan dengan gaya hidup kreatif selain tidak terikat dengan peraturan menghias tertentu.

ARTIKEL BERKAITAN: Transformasi menarik... Rumah teres usang ini bertukar vila mewah lengkap dua kolam renang!

Walaupun begitu, terdapat beberapa tip bagi membolehkan gaya bohemian yang cuba ditampilkan tampak lebih menarik.

1. Guna tumbuhan hijau

Bagi mendapatkan kesan lebih menarik pada dekorasi anda, apa kata gunakan tanaman hijau segar pada ruang tertentu dalam kediaman anda.

Penggunaan tumbuhan hijau ini bukan sahaja memberi impak warna dalam dekorasi tetapi elemen alam yang menjadi sebahagian konsep bohemian.

Pilihan pokok tidak terbatas - boleh gunakan tumbuhan hijau dalam pasu atau yang digantung sama ada yang segar atau pun plastik.

2. Perabot material alam

Perabot yang diperbuat daripada rotan serta buluh sangat popular masa kini dan apa kata gunakan untuk hiasan dalaman anda selain ia mudah dipadankan dengan pelbagai warna.

3. Paduan warna

Lebih banyak warna lebih baik kerana konsep bohemian ini tiada batasan jumlah atau kombinasi warna yang boleh digunakan untuk sesuatu ruang.

Kena berani untuk menggunakan warna terang seperti biru indigo pada dinding serta gabungkan elemen-elemen lain seperti perabot dan aksesori daripada pelbagai warna seperti jingga, putih, merah dan ungu.

4. Pelbagaikan motif

Selain penggunaan pelbagai warna, konsep bohemien juga mementingkan elemen motif pada perabot dan aksesori. Bagi memaksimumkan gaya itu, pilih sofa bercorak dan motif berbeza pada karpet, langsir, sarung kusyen, selimut dan sebagainya.

5. Galeri seni

Elemen seterusnya adalah menggantung lukisan di dinding dan biasanya seni yang digantung tidak terbatas dan mengikut cita rasa masing-masing.

Susunan lukisan juga tidak perlu mengikut kebiasaan malah adalah lebih baik saiz bingkai yang dipilih juga berbeza-beza.

Dekorasi, Bohemian, Rumah, Kediaman

Artikel Lain