MELIHAT telatahnya yang bersahaja, tenang dan lancar ketika menyampaikan cerita Semut Dan Merpati, sekali imbas pastinya tidak ramai yang perasan bahawa sang penglipurlara merupakan gadis dalam kalangan Orang Asli. Haslina Zaili, 14, adalah salah seorang peserta pertandingan bercerita anjuran syarikat pengendali takaful, Great Eastern Takaful Bhd di Pusat Kreatif Kanak-kanak Tuanku Bainun, Kuala Lumpur baru-baru ini. Mendekati gadis genit berambut ikal berasal dari Kampung Orang Asli Sungai Gabong, Bentong, Pahang ini, Haslina berkata dia sebenarnya masih lagi giat memantapkan penguasaan Bahasa Melayu (BM). ARTIKEL BERKAITAN: Bidik kamera laksana jurugambar profesional, hasilnya 'meletop'! ARTIKEL BERKAITAN: Gigih ubah nasib komuniti Orang Asli, Hanim Apeng tetap junjung prinsip "Sejauh mana pergi, jangan lupa asal usul" Membesar dalam lingkungan masyarakat kampung yang lazim bertutur dalam bahasa Temuan, pelajar di Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (SMJK) Khai Mun itu berkata, keadaan itu menyebabkan pencapaiannya dalam mata pelajaran BM sedikit merosot. "Saya boleh bertutur dan memahami Bahasa Melayu, namun agak lemah. Karangan saya selalu dapat B dan C, jarang sekali dapat A," ujarnya malu-malu. Menerusi pertandingan yang juga adalah sebahagian program tanggungjawab sosial korporat (CSR) Great Eastern dalam usaha menaik taraf kehidupan serta pendidikan komuniti Orang Asli, Haslina berjaya merangkul gelaran juara bagi kategori sekolah menengah. Pertandingan itu turut diserikan dengan kehadiran Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim. Haslina berkata, tujuannya menyertai pertandingan berkenaan adalah sebagai satu usaha untuk meningkatkan penguasaan Bahasa Melayu dan untuk pertandingan itu dia mengambil masa selama seminggu untuk membuat persediaan. "Selama seminggu saya menghafal dan berlatih setiap hari di depan cermin ditemani ibu sebagai pendorong utama," katanya lagi. Rakan baik sering bantu subjek BM Dalam pada itu, Haslina berkata dirinya bertuah kerana mempunyai seorang sahabat baik yang sering membantunya mendalami subjek BM. "Kawan baik saya itu Melayu. Dia sentiasa ada bila saya perlukannya, dan begitu juga sebaliknya. Dia selalu tolong ajar saya buat karangan, ajar macam mana nak jawab soalan periksa kerana saya sangat lemah," ceritanya. Gaya Haslina yang bersahaja dan lancar melayakkannya merangkul gelaran juara. Selain itu, Haslina berkata dia gemar menonton drama Melayu di televisyen, selain membaca buku di mini perpustakaan di kampungnya. "Saya bersyukur kampung kami ada mini perpustakaan, buku-bukunya disediakan oleh Great Eastern Takaful. Biasalah, mula-mula tu memang macam janggal. Tapi cara saya mudah saja. Saya akan senyum, kenalkan diri, saya bergaul sama macam kawan dekat kampung. HASLINA ZAILI "Saya juga tengok drama Melayu di televisyen. Drama yang paling saya suka adalah drama bercorak romantik. Drama Sayangku Kapten Mukhriz adalah drama yang paling saya suka," ceritanya sambil tersenyum. Selalu senyum petua cepat ngam dengan rakan Seringkali Orang Asli dikaitkan dengan istilah mundur, sehingga komuniti ini dipinggirkan oleh segelintir masyarakat yang masih mempunyai persepsi negatif terhadap mereka, namun berlainan sekali dengan situasi yang dilalui Haslina. Bercerita mengenai alam persekolahannya, Haslina berkata dirinya tidak pernah berasa terpinggir sekalipun dikelilingi pelajar sekolah dari pelbagai bangsa. Haslina ditemani adik saudaranya ketika menyertai pertandingan bercerita. "Saya bersekolah di sekolah jenis kebangsaan, pelajarnya ada berbangsa Cina dan Melayu, tapi semua bergaul macam biasa dengan saya. "Biasalah, mula-mula tu memang janggal, tapi cara saya mudah saja. Saya akan senyum, kenalkan diri, saya bergaul sama macam kawan di kampung. "Lagi satu, saya selalu ingat pesan ibu. Sentiasa berbuat baik dengan rakan dan jangan bergaduh. Kalau ada yang cuba ganggu, jangan layan dan diam saja," ceritanya.