suria

Manjakan diri bukan tidur sahaja... 7 tip ini pasti buat hujung minggu anda menyeronokkan!

Aktiviti riadah bersama rakan-rakan antara kaedah untuk menanjakan diri pada hujung minggu.

MASIH ramai beranggapan cara terbaik untuk mengurangkan tekanan adalah dengan memanjakan diri dan antara aktivitinya seperti membeli-belah, menonton wayang atau riadah bersama rakan-rakan dan keluarga.

Sebenarnya ini adalah waktu tepat untuk merenung dan melihat kembali diri sendiri sebagai salah satu cara merawat diri sendiri.

ARTIKEL BERKAITAN: Apa personaliti anda? Jom kenali diri melalui 4 warna ini

Kajian oleh Advanced Dermatology terhadap 2,000 responden di Amerika Syarikat baru-baru ini mendapati 84 peratus merasakan ketenteraman dalam hidup tanpa sebarang masalah adalah lebih penting berbanding wang atau kekayaan.

Pun begitu, daripada peratusan itu rata-rata mereka hanya menggunakan 83 minit seminggu untuk memanjakan diri.

Dalam pada itu, 57 peratus responden pula mengatakan mereka berasa bersalah apabila meluangkan lebih banyak masa untuk diri sendiri kerana sedar masih banyak tanggungjawab perlu diberi perhatian termasuk kerja di pejabat serta keperluan keluarga di rumah.

Sebenarnya ada beberapa perkara yang boleh anda lakukan pada hujung minggu yang bukan sahaja membolehkan anda melupakan masalah lain tetapi terapi untuk diri sendiri.

1. Mengemas katil

Ramai orang menganggap mengemas katil adalah perkara paling melecehkan walaupun ia tidak mengambil masa yang lama.

Tetapi percayalah, mengemas katil dan bilik tidur anda dapat memberi perbezaan kepada mood sekaligus ketenangan fikiran.

2. Buku dan lilin

Jauhkan diri daripada telefon sebaliknya cuba capai sebuah buku kegemaran anda untuk dibaca pada hujung minggu.

Bagi mewujudkan suasana tenang, nyalakan lilin beraroma yang bukan sahaja membolehkan anda rileks tetapi menaikkan semangat untuk membaca.

3. Senaman

Senaman memang mempunyai banyak manfaat tetapi ramai memilih untuk tidur pada hujung minggu sebagai cara 'manjakan diri'. Cubalah keluar dari rumah untuk gerakkan tubuh dan mengeluarkan peluh.

Ia bukan sahaja membantu menyegarkan badan tetapi kesihatan mental selain memudahkan anda tidur pada waktu malam.

4. Jadual sosial

Tidak salah sekali sekala keluar berhibur bersama keluarga atau pun rakan-rakan kerana ia juga dapat memberi ketenangan dan membuatkan anda melupakan pelbagai masalah.

Tetapi sebaiknya sediakan jadual dan catatkan acara penting seperti hari jadi si dia agar anda boleh merancang aktiviti sosial.

5. Berkunjung ke spa

Rawatan rambut dan kuku mungkin kedengaran klise tetapi percayalah ia bukan sahaja memanjakan diri anda tetapi membuatkan anda lebih berkeyakinan dan rasa dicintai dan dihargai oleh diri sendiri.

6. Tulis jurnal

Menulis jurnal adalah satu amalan yang bagus untuk memeriksa diri sendiri terutamanya selepas mengharungi minggu yang sibuk. Catatkan kejadian penting dan perasaan anda mengenainya.

Ia satu cara merawat diri yang cukup baik namun jangan pula tulis 'jurnal' di laman sosial - cukup sekadar untuk pengetahuan anda sendiri.

7. Libatkan rakan baik

Memanjakan diri tidak semestinya anda perlu bersendirian sebaliknya ajak rakan baik anda. Kehadiran mereka barangkali boleh membuatkan sesuatu aktiviti lebih menyeronokkan selain berkongsi pelbagai perkara yang berlaku sepanjang minggu.

Spa, Buku, Lilin, Manjakan Diri, Senaman

Artikel Lain