SEBELUM ini jualan mega di pusat beli-belah pasti ditunggu-tunggu kerana itulah peluang untuk berbelanja sakan dengan diskaun menarik. Bagaimanapun perubahan teknologi serta lambakan jualan pelbagai produk secara dalam talian telah banyak mengubah corak pembelian pengguna. ARTIKEL BERKAITAN: Bimbang online shopping sampai akaun kering? Ini 3 langkah bijak yang boleh anda ikut Malah kebanyakan daripada kita pada hari ini lebih gemar membeli secara online - bukan sahaja mudah malahan pelayar media sosial sentiasa dihidangkan dengan pelbagai tawaran istimewa. Tapi sebenarnya, terdapat teknik tertentu untuk berbelanja tanpa perlu menunggu jualan murah malah ia lebih menguntungkan dan menjimatkan. Jom ikuti tip berbelanja ini untuk manfaat semua; 1. Guna kupon dan cashback Ramai tidak menyedari bahawa berbelanja menggunakan kupon atau cashback yang diberikan sebenarnya memberi banyak keuntungan kepada pembelian anda. Biasanya anda akan diminta mendaftar terlebih dahulu sebelum menerima kupon atau cashback sebelum dipautkan ke laman yang menawarkan pelbagai produk dengan potongan harga istimewa. Jadi jangan malas mendaftar kerana anda juga akan merasai keuntungannya! 2. Senaraikan barangan di wishlist Ketika berbelanja dalam talian, apa kata pilih dahulu barangan yang anda ingin beli dan kumpulkan dalam kotak senarai wishlist tetapi jangan buat pembayaran. Sebaliknya simpan senarai itu terlebih dahulu dan anda pasti akan menerima emel tentang maklumat diskaun atau kod potongan harga sebagai cara memujuk anda kembali masuk ke laman web berkenaan dan berbelanja. Tak percaya cuba dulu okay? 3. Jangan beli ikut musim Bagi yang gemar membeli barangan daripada luar negara, tip ini untuk anda. Sebaik-baiknya jangan buat pembelian barangan mengikut musim tertentu. Contohnya, pakaian musim panas akan lebih murah ketika di akhir musimnya dan seperti Malaysia anda masih boleh memakainya sepanjang tahun! 4. Langganan buletin Ramai sebenarnya rimas apabila menerima pelbagai emel berhubung jualan dalam talian tetapi sebenarnya langganan buletin ini sangat berguna dalam mengetahui diskaun yang tidak diiklankan dalam laman web. Dalam buletin itu juga kadang-kadang terselit kupon atau kod yang menawarkan potongan harga istimewa. Anda juga yang untung! 5. Buat perbandingan Mungkin dengar macam leceh, tetapi percayalah jika anda luangkan sedikit masa membuat perbandingan harga di beberapa laman web berbeza ia pasti akan menguntungkan anda. Bukan lama pun, cuma perlu beralih ke beberapa laman web sebelum membuat keputusan terbaik.