suria

Cipta model jentera guna kertas, bahan terbuang... bakat remaja ini buat ramai terpana!

Muhammad Adam Syakirin, pelajar tingkatan satu dari Sekolah Menengah Maahad Tahfiz Al-Abidin sangat berbakat mencipta model jentera daripada kotak dan kertas.

KETIKA rakan sebayanya ligat bermain bola sepak di padang, tetapi tidak bagi kanak-kanak ini.

Pemilik nama Muhammad Adam Shakirin ini lebih gemar menghabiskan masa di rumah dengan melayani hobi uniknya mencipta model jentera dan kenderaan menggunakan kertas dan bahan terbuang.

Menurut ibunya, Norin Puteh, anaknya yang merupakan pelajar tingkatan satu di Sekolah Menengah Maahad Tahfiz Al-Abidin, Pendang, Kedah mula menunjukkan minat mencipta model jentera dan kenderaan ketika berusia 10 tahun.

ARTIKEL BERKAITAN: Tak sempurna namun berbakat, 30 lukisan dari jiwa golongan istimewa buat khalayak terpegun 

ARTIKEL BERKAITAN: Remaja OKU bakal ke Moscow, wakili negara ke Pertandingan Abilimpik Antarabangsa - “Jangan malu kerana kekurangan, tapi berusaha untuk sesuatu yang lebih besar dalam hidup” 

“Ketika Adam darjah 4, saya dan suami perasan dia mula menghabiskan masa dengan memotong kertas dan kotak kasut untuk mencipta model lori dan jentera.

“Pulang dari sekolah saja, dia akan bertungkus lumus siapkan model-model dia. Ingatkan dia suka-suka saja, tapi rupa-rupanya makin serius.

“Pada mulanya, ada juga perasaan macam nak marah sebab fikir benda yang dia buat tu tak mendatangkan faedah. Lagi pula saya bimbang dia abaikan pelajaran sebab terlalu fokus dengan hobi dia. Namun Alhamdulillah, prestasi dalam pelajaran dia bagus,” katanya kepada mStar.

Model traktor yang hanya mengambil masa kurang tiga hari untuk disiapkan. 

Bercerita lebih lanjut, Norin berkata anaknya yang mesra dipanggil Adam banyak menggunakan bahan terbuang seperti kotak kasut dan mounting board di samping beberapa bahan lain seperti butang baju, batang ais krim dan plastik untuk melengkapkan modelnya.

Justeru, penyediaan bahan-bahan berkenaan tidak memerlukan kos yang banyak.

“Kami hanya belikan Adam mounting board dan bahan-bahan seperti gam, butang dan bahan-bahan kecil lain sebagaimana permintaannya.

“Mungkin inilah bentuk sokongan kami kepada Adam untuk meneruskan minatnya,” ujar Norin.

Model mesin padi yang dihasilkan hanya menerusi pemerhatian daripada sekeping gambar. 

Cerita Norin lagi, Adam tidak mengambil masa yang lama untuk menyiapkan setiap model kenderaan atau jentera berkenaan.

“Paling lama pun tiga hari, itu pun jika model berkenaan kompleks sedikit seperti jentera mesin padi. Kebiasaannya, kalau model basikal atau motorsikal, Adam hanya mengambil masa sehari saja,” kata wanita berusia 37 tahun ini.

Semua dia buat sendiri, daripada mengukur dan memotong sehingga mencantumkan keratan-keratan kertas. Adam akan meneliti gambar terlebih dahulu, kemudian dia akan mula ukur dan potong

NORIN PUTEH

IBU MUHAMMAD ADAM SYAKIRIN

Mengulas perihal anak sulungnya yang kini berusia 13 tahun, Norin berkata Adam merupakan seorang yang sangat cermat, teliti dan mementingkan kekemasan dalam penghasilan model-model jenteranya.

“Semua dia buat sendiri, daripada mengukur dan memotong sehingga mencantumkan keratan-keratan kertas. Adam akan meneliti gambar terlebih dahulu. Kalau tak jelas, dia minta bantuan saya atau ayahnya untuk carikan gambar di internet. Kemudian dia akan mula ukur dan potong,” katanya sambil menambah, minat Adam mula ‘berjangkit’ kepada adiknya, Muhammad Azim Hafifi yang berusia 10 tahun.

Ditanya mengenai cita-cita anaknya itu, Norin berkata Adam mahu menjadi seorang jurutera apabila besar kelak, sesuai dengan minatnya terhadap jentera.

Antara koleksi model jentera yang dihasilkan Adam.


“Dia pernah membawa model jentera untuk dihias di bilik darjahnya sempena hari kemerdekaan tahun lalu. Guru-guru sekolah pada mulanya tidak percaya Adam yang mencipta model-model itu, tapi selepas melihat sendiri, mereka akui yang Adam sangat berbakat.

“Setakat ini, pencapaian yang membanggakan adalah Adam diminta oleh satu pihak untuk membuat sebuah model basikal untuk dihadiahkan kepada seorang peserta Kembara Menuju Lambaian Kaabah 2018, Sulaiman Abd Lah," katanya.

Adam dan keluarganya bergambar bersama Sulaiman atau lebih dikenali Abang Man Mekah.

Sehingga kini, Adam telah mencipta lebih 30 model yang terdiri daripada jentera dan juga kenderaan. Kesemua model itu disimpan di dalam satu almari khas.

“Ada yang tanya, tak mahu jual kah model-model ini. Tapi saya rasa macam kurang enak, iyalah benda dicipta oleh budak-budak. Bimbang juga ada yang tak berkenan. Model itu perlu dipertingkatkan lagi kualiti sebelum ianya dijual," katanya lagi.

Norin berkata, sejak kisah Adam mula mendapat perhatian, ada pihak yang menawarkan kursus untuk memberi pendedahan dan panduan kepada anaknya agar bakat yang dimiliki mampu diketengahkan lebih jauh.

“Kalau ada yang sudi nak ketengahkan bakat Adam lebih jauh, kami tidak ada masalah. Mengapa tidak kalau bagus, tapi kena tengok keadaan dulu, kena tanya Adam juga.

“Cuma saya rasa bersyukur kerana ramai yang mengkagumi bakat Adam. Alhamdulillah, ini semua anugerah Allah yang jadikan tangan dia berseni,” akhirinya.   

Artikel Lain