suria

“Bunyi adalah segala-galanya untuk mereka” - Pengorbanan berbaloi, skuad Harimau Buta kini gah di persada dunia

Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq (tengah) bersama barisan pemain bola sepak kebangsaan 'Harimau Buta'.

KEHILANGAN deria penglihatan mungkin dapat melemahkan semangat sesorang terutama selepas digelar Orang Kelainan Upaya (OKU). Namun semangat yang telah patah itu kembali menyinar apabila ada pihak bertanggungjawab tampil membantu memulihkan jiwa yang serba kosong itu.

Ketua jurulatih skuad bola sepak orang buta Malaysia, Sunny Shalesh berkata, Harimau Buta atau Pasukan Bola Sepak Orang Buta Malaysia (BFAM) adalah pasukan yang terdiri daripada pemain yang mempunyai masalah kurang upaya atau cacat penglihatan.

ARTIKEL BERKAITAN: Remaja OKU bakal ke Moscow, wakili negara ke Pertandingan Abilimpik Antarabangsa

Menurut lelaki berusia 49 tahun ini, terdapat pelbagai cabaran yang ditempuhinya pada awal penubuhan pasukan BFAM ketika berusaha membentuk dan menaikkan nama pasukan ini ke peringkat antarabangsa selepas percubaan pertama tewas di kejohanan Asian 2009 di Tokyo.

Percubaan pertama tewas pada kejohanan Asia 2009

“Bermula 2009, saya berjaya mengumpul beberapa orang buta untuk mengajar mereka bermain bola sepak sebagai rancangan untuk ke kejohanan Asia 2009. Namun, di sana kami kalah teruk tetapi bagi saya kalau tak kalah kami tetap akan belajar. Jadi itulah percubaan pertama kami tetapi kami balik dengan ilmu dan dari situlah kami mula mencari bakat baharu di sekolah-sekolah buta dan di merata-rata tempat lagi.

Blind football dah terkenal, orang pun dah tahu wujud pasukan bola sepak orang buta. Jadi bila kita panggil untuk pemilihan, ramai yang mencuba dan pastinya yang terbaik dipilih dan detik itu bermula pada 2010 iaitu sebaik kami kembali dari Tokyo,” kata Shalesh kepada mStar ketika ditemui di acara Eye on the Ball: Bola Buta Challenge di Stadium Bukit Jalil, Kuala Lumpur pada Sabtu.

Kekurangan bukan penghalangan bagi mereka untuk terus melibatkan diri dalam dunia sukan.

Juara Sukan Para Asean 2015

Bagi Shalesh, sejak meraih pingat emas Sukan Para Asean 2015, barisan negara kini sudah menghampiri tahap pasukan terbaik Asia.

“Tahun 2015 Sukan Para ASEAN di Singgapura, kami mengejutkan seluruh dunia sebenarnya, dengan pasukan yang tidak diberi sebarang harapan dan tidak menerima apa-apa tajaan sebaliknya telah berjaya menjadi juara sekaligus mendapat pingat emas ke-50 untuk Malaysia apabila menewaskan Thailand yang juga juara bertahan,” katanya.

Membuka peluang penyertaan orang ramai

Beliau berkata, pembangunan pasukan ini dijalankan secara berterusan bahkan blind football bukan hanya merujuk dalam usaha memberi latihan kepada pasukan kebangsaan semata-mata tetapi turut terbuka kepada orang ramai bermain secara berekreasi.

Selain melatih pasukan kebangsaan sedia ada, pihak BFAM juga memberi latihan kepada pelajar-pelajar OKU di sekolah-sekolah buta bagi mempersiapkan mereka untuk jangka masa empat tahun akan datang.

Adik saya sendiri adalah OKU mempunyai kecacatan mental dan juga anggota badan. Dialah yang perkenalkan saya kepada Pan-Disable Football atau bola sepak OKU.  Satu hari dulu, waktu saya balik dari sekolah dia tersepak bola kat saya dan dia jerit keseronokan. Itu yang membuka mata saya bahawa bola sepak ni kalau kita tak mampu bergerak pun tetap boleh diajar

SUNNY SHALESH

JURULATIH HARIMAU BUTA

“Kita juga melatih di sekolah-sekolah buta menyediakan mereka untuk empat tahun yang akan datang sewaktu usia mereka dah remaja dan kita akan serap. Kita akan membentuk pasukan untuk masa depan yang berusia bawah 20 tahun. Kita cuba nak bentuk pasukan lebih muda supaya boleh simpan untuk jangka masa 12 tahun.

Blind football bukan merujuk kepada pasukan kebangsaan sahaja sebab ramai pemain bukan bermain untuk kebangsaan, tetapi  dan mereka bermain bersama kami secara berekreasi. Sukan bukannya untuk menang semata-mata tetapi ia untuk pembentukan jati diri, kebaikan kepada fizikal dan kesihatan dalaman.

“Jadi kita nak mereka berupaya membawa diri dalam kalangan masyarakat melalui sukan. Kalau orang buta tak pernah ke padang bola, inilah peluangnya. Biar orang tengok mereka main dan mereka seronok sebab ada tepukan, walaupun mereka tak nampak. Bunyi adalah segala-galanya untuk mereka, bunyi yang indah didengar membantu menaikkan semangat mereka,” kata jurulatih pasukan ini.

Kekurangan ini membantu menaikkan keyakinan diri pemain.

Pra-syarat utama pasukan ini

Selain mengalami cacat penglihatan sepenuhnya, pra syarat utama lain yang boleh membentuk seseorang itu menjadi pemain bola sepak buta cemerlang adalah memiliki pendengaran yang tajam dan juga berani berlari karana ia dapat menguji tahap keyakinan individu pemain itu.

Dengan melibatkan diri dalam sukan seperti ini, seseorang OKU penglihatan itu mampu membina semangat serta keyakinan diri peserta selain terdapat pelbagai faktor positif dapat disuntik dalam diri orang-orang buta di Malaysia.

Unik permainan bola sepak orang buta

Merupakan bekas penjaga gol skuad sama pada 2009, Shalesh berkata terdapat perbezaan dari segi saiz gelanggang, jumlah pemain serta syarat penyertaan yang perlu dilengkapkan oleh pemain sebelum melibatkan diri dalam pasukan ini.

“Beza bola sepak buta ini dia bermain di gelanggang yang sama saiz dengan gelangang futsal iaitu 40x20 meter, selain menggunakan hanya enam pemain setiap perlawanan iaitu empat orang buta, seorang penjaga gol celik dan seorang jurupandu arah yang celik.

“Jurupandu arah akan berada bertentangan iaitu di belakang penjaga gol pihak lawan yang bertanggungjawab untuk memberi arahan dan memberi isyarat  kepada penyerang buta supaya sepak ke arah suaranya untuk menjaringkan gol.  

"Jadi uniknya blind football ini adalah apabila pemain buta menjaringkan gol apabila berdepan penjaga gol celik dan ini sememangnya sesuatu yang luar biasa. Macam mana hebat pun penjaga gol, ia tetap ditewaskan oleh pemain buta,” jelasnya.

Walaupun, bermain dengan hanya menggunakan satu kaki, tidak memutuskan semangat mereka.

Membuka mata

Menurut Shalesh adiknya yang juga merupakan seorang OKU berjaya membuka mata beliau akan perlunya diberi perhatian kepada golongan istimewa ini dalam dunia sukan bola sepak walaupun mereka memiliki kekurangan atau cacat anggota.

“Adik saya sendiri adalah OKU yang berumur 42 tahun dan dia mengalami masalah kecacatan mental dan juga anggota badan. Dia jugalah yang perkenalkan saya kepada Pan-Disable Football atau bola sepak OKU.  

"Satu hari dulu, sewaktu balik dari sekolah dia tersepak bola kat saya dan dia jerit keseronokan. Itu yang membuka mata saya mengatakan bahawa bola sepak kalau kita tak mampu bergerak pun tetap boleh diajar.

“Sejak hari itu saya mula melatih adik saya sebab dia nampak begitu seronok dan itu juga yang menguatkan hubungan kami adik beradik. Dialah yang membuka mata saya yang orang istimewa cacat penglihatan, cacat anggota masih boleh diajar untuk bermain bola sepak. Jadi saya mengambil cabaran itu, melatih semua kategori bola sepak OKU dan dalam banyak-banyak saya rasa blind footbal yang paling cemerlang apabila berjaya mendapat nama di peringkat antarabangsa.

Malah selain bola sepak orang buta, beliau turut mengajar tujuh kategori lain seperti melatih bola sepak kudung, rabun, pekak, intelektual, cacat anggota, dan frame-football untuk kanak-kanak berusia 10 tahun ke bawah dengan penajaan sepenuhnya oleh CIMB.

bola sepak, buta, Harimau Buta

Artikel Lain