suria

Cili pelangi nampak 'mengancam' tapi awas tahap kepedasannya!

Cili pelangi bukan sahaja cantik sebagai perhiasan tetapi boleh dimakan cuma ia mempunyai rasa pedas yang tinggi.

CILI yang biasa kita tengok selalunya berwarna merah atau pun hijau tetapi berlainan pula di Indonesia apabila terdapat cabai warna-warni yang dipanggil cili pelangi.

Ada apa dengan cili pelangi? Seperti namanya, ia tumbuh dengan pelbagai variasi warna seperti merah, hijau, ungu dan kuning.

Seorang profesor dalam bidang pertanian, Muhammad Syukur berjaya 'mengahwinkan' beberapa jenis cili bagi menghasilkan baka cili pelangi.

Tetapi awas! Ia nampak cantik tetapi cili pelangi ini dikatakan mempunyai tahap kepedasan yang boleh membuatkan air mata mengalir.

"Ia bukan sahaja berwarna-warni tetapi boleh dimakan cuma tahap kepedasannya memang luar biasa iaitu di antara 1,000 hingga 1,600 shu (Scoffield Heat Unit) berbanding cili biasa hanya 200 shu.

Cili pelangi berasal dari Amerika Selatan namun ia semakin popular di Asia terutamanya Indonesia.

"Jika tak sanggup boleh juga jadikan pokok cili pelangi ini sebagai perhiasan," kata Muhammad Syukur.

Jelasnya, menanam cili ini juga sangat mudah malah ia tidak memerlukan sinaran matahari untuk hidup termasuk dipindahkan dalam ruangan suhu berbeza-beza.

Selain itu, terdapat juga beberapa cili lain yang berjaya 'dikahwinkan' oleh Jabatan Pertanian Indonesia yang diberi nama menarik seperti cili Syakira, cili Lembayung, cili Jelita, cili Namira, cili Ayesa, cili Ungara dan cili Seroja.

Cili Syakira unik kerana ketika berbuah ia akan berwarna kuning sebelum bertukar menjadi hijau dan merah, manakala cili Jelita, pohonnya lebih rimbun dan pendek.

Cili Namira pula dapat dikenal pasti dari buahnya yang tumbuh pada batang pokok, berbeza daripada cili-cili yang lain. Selain itu, cili Ayesa memiliki buah berbentuk bulat dan berwarna ungu.

Berlainan pula dengan cili Lembayung dan cili Ungara yang juga bulat dan berwarna ungu gelap, tetapi kesemua cili ini biasanya dijadikan sebagai perhiasan.

Cili, Cili Pelangi, Cili Syurga

Artikel Lain