NAMA Amir Andhar Abu Samah kedengaran cukup asing namun sesiapa yang memandang hasil lukisannya pasti akan terpukau dengan bakat dimiliki pemuda berusia 26 tahun ini. Julai lalu, mural gergasi memaparkan seorang lelaki dikenali sebagai Uncle Roti yang dilukis di dinding sebuah bangunan di Balik Pulau, Pulau Pinang hasil kerja Amir atau lebih dikenali sebagai Andharas tular di media sosial. ARTIKEL BERKAITAN: Bangunan Labuan dihiasi wajah dua figura... kini giliran Hassan Sani dan Uncle Ah Ming diangkat hero negara Ramai memuji hasil kerja bekas penuntut Universiti Teknologi Mara (UiTM) Alor Gajah, Melaka ini, malahan rata-ratanya tersentuh dengan lukisan tersebut kerana subjeknya dekat di hati masyarakat di kawasan itu. Andharas bersama Muniandi dan legenda bola sepak Datuk Hassan Sani selepas melukis mural mereka. "Saya memang minat melukis sejak kecil lagi malah saya menyambung pengajian dalam bidang Seni Halus di UiTM. "Melukis bukan sahaja memberi kepuasan kepada saya tetapi ada sesuatu tentangnya yang membuatkan saya tenang apabila dapat meluahkan idea dalam bentuk lukisan," katanya ketika ditemui mStar baru-baru ini. Timba ilmu tentang warna ketika bantu bapa cat kereta Andharas juga memberitahu minat melukis itu juga diwarisi daripada bapanya yang juga pemilik bengkel cat kereta. Kata pemuda berasal dari Melaka ini, dia sering membantu bapanya di bengkel dan dari situ dia didedahkan dengan warna selain teknik mencampur warna oleh bapanya. "Saya minat melukis tetapi bapalah yang mengajar saya tentang campuran warna bagi menghasilkan kesan warna berbeza untuk mengecat sebuah kereta. Antara hasil kerja Andharas. "Dari situ saya cuba terapkan permainan warna dalam lukisan bagi memberi impak berbeza terutamanya kepada mural dinding," jelasnya. Permainan warna yang dimaksudkan Andharas juga jelas kelihatan menerusi karya terbaharunya iaitu lukisan potret pemain bola sepak legenda, Datuk Hassan Sani di dinding Terminal Feri Antarabangsa Labuan. Hanya mengambil masa tiga hari menyiapkan lukisan mural itu, Andharas berkata, bagi memberi karekter tersendiri pada potret Hassan, dia melukis seekor harimau sebagai latar karyanya itu sebagai lambang kepada 'Harimau Malaya'. Permainan dan campuran warna pada harimau itu katanya dapat memberi kelainan pada mural Hassan yang banyak menggunakan warna gelap. Mural Hassan Sani hasil kerja terbaharu pemuda berusia 26 tahun ini. "Saya sendiri memilih gambar tersebut daripada beliau dan saya fikir bagi menaikkan lagi seri gambar itu saya perlu bermain dengan warna tetapi tidak mahu melakukan kepada subjek utama. "Atas sebab itu saya tambah harimau sebagai latar bagi membolehkan saya bermain dengan warna dan pada masa sama ia membawa maksud tertentu," jelasnya lagi. Idea lukisan pada bangunan itu juga adalah usaha Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya menerusi Balai Seni Negara yang ingin mencantikkan bangunan lama sekaligus menyemarakkan industri pelancongan menerusi lukisan bersempena Tahun Melawat Malaysia 2020. Bahagian mata tak sempurna trademark Andharas Pun begitu kata Andharas, lukisan potretnya mempunyai trademark tersendiri apabila tidak akan melukis bahagian mata dengan sempurna bagi tidak menampakkan hasil kerjanya itu 'hidup'. Kata Andharas, kesemua hasil kerjanya yang berdasarkan figura adalah begitu kerana sebagai orang Islam dia bimbang hasil seninya itu menjadi pujaan sehingga jatuh kepada dosa. Andharas berhasrat untuk melukis mural di Australia dan Los Angeles. "Mana-mana pun saya akan buat begitu... Saya akan cacatkan sedikit bahagian mata kerana itulah yang akan membuatkan lukisan nampak hidup. "Seboleh-bolehnya dalam berkarya juga saya mahu mengikut seni di dalam Islam itu kerana tidak mahu apa dilakukan jatuh sebagai dosa," ujarnya. Belum puas, Andharas simpan hasrat lukis mural di Australia, LA Belum puas dengan apa dikecapinya kini, Andharas bagaimanapun gembira apabila melihat industri seni jalanan semakin mendapat tempat selain banyak pihak mula membuka mata terhadap bakat pelukis tempatan. "Sebelum ini banyak seni dinding di Malaysia dihasilkan mat salleh tetapi sekarang ramai mula sedar bahawa pelukis tempatan juga sangat berbakat besar. "Malah badan kerajaan seperti Balai Seni Negara banyak memberi peluang kepada kami untuk berkarya seperti di Labuan dan Pulau Pinang malah selepas ini banyak lagi negeri akan kami kunjungi untuk tujuan sama," katanya. Hassan Sani sendiri gembira dengan hasil kerjanya. Andharas juga memberitahu street art juga sudah banyak mengalami evolusi dan tidak lagi seperti dahulu apabila ia dianggap menconteng dinding. Bercakap mengenai perancangan masa depannya, Andharas memberitahu selain akan meneruskan kerjanya sebagai pelukis jalanan dia juga giat menyertai pameran lukisan bersama komuniti artis yang lain. Selain itu, dia juga menyimpan hasrat untuk melukis mural di Australia dan Los Angeles yang menjadi pusat seni itu. "Dalam bidang ini kita perlu bijak untuk survey dan sebab itu kita perlu banyak kenalan dan menghasilkan karya terbaik kerana dari situ orang akan nampak hasil kerja kita. "Seperti saya sendiri masih banyak perkara yang perlu saya pelajari dan berharap suatu hari nanti dapat mengembangkan bakat di luar negara termasuk di Australia dan Los Angeles," katanya.