suria

Remaja OKU bakal ke Moscow, wakili negara ke Pertandingan Abilimpik Antarabangsa - “Jangan malu kerana kekurangan, tapi berusaha untuk sesuatu yang lebih besar dalam hidup”

Anis Humairah Riduwan tekun belajar menjahit supaya hasil sulaman lebih halus. -Gambar:The Star

TIDAK sempurna bukan alasan dan penghalang untuk seseorang itu berjaya. Keputusan seorang gadis untuk meninggalkan alam persekolahan ketika usianya 15 tahun bukan satu keputusan yang sia-sia.

Menjadikan kekurangan sebagai kekuatan, Anis Humairah Riduwan, 18 akhirnya berjaya melakar nama dalam dunia perniagaan menerusi telekung jenama sendiri yang diiklankan di laman sosial.

Memiliki bakat istimewa dalam jahitan, sulaman serta tenunan gadis kelahiran Lubuk Merbau, Kedah ini kini lebih dikenali melalui hasil jahitan tangannya yang halus.

ARTIKEL BERKAITAN: Pelukis jalanan ini buktikan trademark mata tak sempurna bukan calang-calang, mampu angkat martabat seni mural negara!

Menurut ibu kepada gadis itu, Roziah Mohd Raziki dia sangat berbangga akan hasil tangan anaknya yang tampak begitu sempurna walaupun pada hakikatnya Anis seorang remaja berstatus Orang  Kelainan Upaya (OKU).

Anis yang kini berusia 18 tahun mengalami masalah pembelajaran serta pendengaran sejak seawal usia 10 tahun dan terpaksa menggunakan alat bantuan pendengaran.

Menjadikan kekurangan sebagai kekuatan, Anis terus berusaha untuk mempelajari dunia jahitan. 

Pendedahan awal

Roziah kemudian mengambil pendekatan yang berbeza dalam membesarkan Anis dengan memberikan pendedahan dalam dunia jahitan agar anak perempuannya dapat memanfaatkannya satu hari nanti.

"Pada saya Anis memerlukan sekurang-kurangnya satu kemahiran penting untuk membantu dalam kehidupannya. Saya sendiri sebagai seorang tukang jahit, saya rasa inilah idea yang terbaik untuk saya beri pendedahan dalam dunia jahitan kepada anak istimewa saya ini," kata Roziah, 43 tahun.

Selain itu, Anis turut mendapat pendidikan di Sekolah Menengah Pendidikan Khas Vokasional Merbok di Bedong, Kedah.

Seakan-akan tidak percaya, dengan pendekatan ilmu jahitan yang diberikan oleh Roziah, akhirnya membantu mengembangkan bakat anaknya melalui kerja-kerja tenunan serta jahitan halus oleh gadis istimewa itu.

Bakal mewakili Malaysia dalam Pertandingan Abilimpik Antarabangsa

Lebih menarik lagi apabila bakat yang dimiliki gadis itu mula diiktiraf selepas dia memenangi kategori sulaman pada Pertandingan Abilimpik Malaysia baru-baru ini.

Malah, Anis turut dipilih mewakili negara ke Pertandingan Abilimpik Antarabangsa yang dijadualkan berlangsung di Moscow, tahun depan.

Abilimpik merupakan pertandingan kemahiran pekerjaan dan vokasional yang direka khusus untuk golongan OKU bertaraf Olimpik bagi mengetengahkan bakat atau kemahiran yang ada pada insan istimewa itu.

Hasil jahitan tangan yang halus.

"Sukar untuk saya gambarkan perasaan gembira ini. Saya tidak pernah bermimpi untuk mewakili Malaysia dalam sebarang pertandingan, kerana sedar kekurangan yang ada pada saya. Saya bersyukur dan berterima kasih kepada kedua ibu bapa atas sokongan mereka," luah Anis dengan bantuan alat pendengaran tanpa mempunyai sebarang masalah percakapan.

Anis maklum untuk memenangi pertandingan itu dia perlu bekerja keras untuk mengalahkan peserta yang lain dari segi kelajuan, kreativiti serta pengetahuan teknikal.

Difahamkan, gadis kecil molek ini turut menyertai kelas khas teknik sulaman daripada seorang pensyarah dari bidang fesyen di Universiti Teknologi Mara (UiTM), Dr Rose Dahlina Rusli sejak awal tahun lalu.

Menurut Rose, pelbagai teknik sulaman yang diajar olehnya kepada gadis itu seperti jahitan rantai, satin stitch, simpul Perancis dan Lazy Daisy.

Selain itu, beliau berharap dapat meningkatkan serta memberikan lebih banyak pendedahan kepada Anis.

"Dia seorang yang cepat belajar selain berkebolahan dan berbakat. Ini dapat dibuktikan bahawa kecacatan seseorang tidak boleh dianggap sebagai penghalang untuk mereka terus berjaya," kata Rose.

Disamping itu, walaupun mempunyai masalah lemah dalam pembelajaran serta akedemik, namun Anis berjaya membuktikan bahawa dia mempunyai kelebihan dalam bidang jahitan.

Masa depan lebih cerah

Seiring dengan harapan untuk meraih pingat emas di kejohanan itu, ibunya berharap agar Anis terus mempraktikkan kemahiran menjahitnya untuk mencapai kemajuan diri serta memperoleh pendapatan sendiri.

"Harapan saya adalah untuk melengkapkan Anis dengan ilmu serta kemahiran tersebut agar dia lebih berdikari dan mampu menjaga diri apabila saya dan suami tua nanti," luah Roziah yang bimbang akan masa depan anak istimewanya.

Umum tahu, sebenarnya terdapat banyak program untuk anak-anak ini, tetapi terdapat jurang yang besar di dalam latihan pekerjaan bagi golongan dewasa OKU.

Tidak terus berputus asa, ibu kepada tiga anak ini turut memberi pendedahan kepada Anis dalam dunia perniagaan.

Malah Anis kini bergerak aktif dalam memasarkan dan mengiklankan produk telekung hasil jahitannya bersama ibunya sendiri yang diusahakan sejak tujuh tahun lalu.

Anis memperagakan rekaan telekung jenama sendiri.

'Telekung Hanani' hasil tangan sendiri

'Telekung Hannani' merupakan jenama sendiri yang dinamakan sempena nama anak kelima Roziah yang meninggal dunia pada 2012 akibat komplikasi jantung.

"Dari dulu saya suka menjahit. Masa kecil, saya selalu tolong ibu masukkan benang ke dalam jarum untuk menjahit. Saya gembira dengan pendedahan dan peluang yang diberikan oleh ibu untuk membantu menjalankan perniagaan ini.

"Saya bersyukur kerana dengan bimbingan ibu, saya akhirnya boleh menjahit selain berpeluang untuk bekerja di sebuah butik pengantin di Kuala Kangsar," kata Anis menghargai kepercayaan yang diberikan oleh ibu kepadanya.

Bagaimanpun, Anis gembira dapat memperagakan telekung hasil jahitannya serta mendapat banyak tempahan menerusi laman Facebook dan Instagram.

Tambah Roziah lagi, dia percaya keputusan untuk membenarkan Anis bekerjasama dengannya dan hanya bekerja dari rumah adalah keputusan yang tepat buat masa sekarang.

"Di rumah, saya dapat menjaga Anis dan boleh memberinya pekerjaan. Anis perlu belajar bahawa untuk menjalankan perniagaan tidaklah mudah seperti yang dibayangkan. Syukurlah, dia seorang pelajar yang baik. Dia tidak pernah mengadu dan sentiasa bersedia untuk belajar, walaupun saya sering membebel dan menegurnya," kata ahli perniagaan telekung kapas dan poliester.

Menurut pengasas Telekung Hannani, rekaannya datang menerusi empat design yang berbeza seperti klasik, hiasan renda (untuk kanak-kanak) dan dengan poket berzip dan pembeli boleh mendapatkannya dengan harga serendah RM69 dan RM95.

Secara purata, mereka berjaya menjual dari 40 hingga 60 telekung sebulan dek kerana permintaan yang tinggi.

"Saya tidak akan berada di mana saya sekarang tanpa sokongan ibu. Ibu bapa sayalah yang selalu menjadi kekuatan saya. Mereka menggalakkan saya menjadi yang terbaik dalam segala-galanya. Nasihat saya kepada orang kurang upaya lain adalah untuk tidak merasa malu kerana kekurangan anda. Berusahalah untuk perkara yang lebih besar dalam kehidupan," kata Anis. -Star2.com

kelainan upaya, istimewa

Artikel Lain