suria

Perhatian ‘kaki buku’! BBW kembali lagi, kali ini 4.5 juta naskhah ditawarkan... jangan lupa bawa beg sendiri tau!

Pengunjung mula memenuhi dewan MIECC untuk membeli-belah pelbagai jenis buku pada hari pelancaran jualan mega BBW 2018.

'KAKI buku' pasti tersenyum gembira dengan kemunculan pesta buku terbesar Big Bad Wolf (BBW) yang bakal bermula pada minggu pertama Disember ini.

Kedatangan BBW yang mencatatkan kali ke-10 tahun ini adalah saat yang ditunggu-tunggu oleh penggemar buku kerana pelbagai koleksi di sediakan sepanjang 11 hari berlangsungnya acara itu di Pusat Pameran & Konvensyen Antarabangsa Mines, The Mines di Seri Kembangan, Selangor.

Dengan lebih 4.5 juta naskhah yang bakal disediakan, sudah pasti semua pengunjung akan rambang mata memilih koleksi bahan bacaan yang ingin dibeli dengan harga luar biasa sepanjang tempoh 6 hingga 16 Disember ini.

Jadi jangan lupa ketahui beberapa tip penting ke BBW;

1. Aplikasi Wolf Pack

Muat turun aplikasi Wolf Pack di telefon pintar anda dan nikmati pelbagai faedah, hadiah serta tawaran eksklusif sebagai ahli. Aplikasi telah mula beroperasi pada 28 November lalu dengan ciri pra-tempahan bagi mereka yang ingin menjadi yang terawal untuk dapatkan koleksi buku kesayangan mereka.

2. Rancang, rancang, rancang!

Memandangkan jualan BBW berlangsung selama 11 hari selain beroperasi selama 24 jam, pastikan anda merancang perjalanan dan waktu perjalanan anda untuk mengelakkan kesesakan lalu lintas.

Lebih 4.5 juta buku ditawarkan pada BBW kali ini.

3. Pakai kasut sesuai

Dengan anggaran 50,000 judul dan 4.5 juta buku, sudah semestinya anda akan banyak berjalan meneroka buku pilihan anda. Percayalah, anda memerlukan kasut yang selesa untuk berjalan jauh.

4. Bijak rancang strategi

Rancang strategi bijak jika datang ke BBW bersama kawan-kawan atau keluarga kerana karnival buku ini lain daripada yang lain. Malah lebih menarik sempena ulangtahun ke-10, penganjur juga bakal menyediakan pelbagai kejutan buat pengunjung.

5. Membeli sambil bersedekah

Di samping mencari buku kegemaran, anda juga berpeluang untuk menyumbangkan beberapa buku kepada insan yang kurang bernasib baik di kawasan yang disediakan iaitu di penjuru Red Readerhood.

6. Terokai dunia magis

Salah satu acara utama untuk BBW tahun ini Reality Augmented, yang dikenali sebagai Buku Magis iaitu sesuai untuk kanak-kanak mencipta pengalaman membaca interaktif dengan lebih mendalam.

Menariknya, anda cuma perlu memuat turun aplikasi Magic Hippo untuk menyaksikan seolah-olah watak dalam buku itu seperti realiti. Oleh itu, pastikan anda memuat turun aplikasi tersebut sebelum ke BBW untuk siri cerita pendidikan atau cerita kegemaran sebelum tidur dengan 17 koleksi tajuk yang disediakan.

Troli-troli para pengunjung yang diletakkan sewaktu BBW 2018.

7. Menangi bekalan buku sepanjang hayat

Menangi bekalan buku seumur hidup ! Sertai Big Bad Wolf Book Sale Kuala Lumpur #ILOVEBBWKL20198.

8. Luaskan pemikiran

Inilah masanya untuk anda cuba baca buku yang berlainan genre dengan harga menjunam iaitu tawaran eksklusif beli 10 percuma 1.

9. Bawa item peribadi 

Jangan lupa bawa tisu basah, pembersih tangan, tisu atau tuala kecil serta barangan lain untuk pastikan anda kekal selesa sepanjang memilih buku-buku. 

Jika lapar, jangan bimbang kerana terdapat pelbagai pilihan makanan ringan yang dijual berhampiran dengan kawasan rehat yang disediakan. Awas ya, anda tidak boleh makan atau minum di kawasan yang tidak dibenarkan.

10. Bawa beg anda sendiri!

Bawa beg membeli-belah anda sendiri. Lebih bagus jika anda bawa bagasi bagi mengelak tangan anda berasa lenguh menjinjing beg yang dipenuhi bahan bacaan itu.

Big Bad Wolf, 2019, Tip

Artikel Lain